PAU Bentuk ‘Mindset’ Akar Umbi, Gerak Kerja Bersepadu Depani Cabaran – Muhammad Adri
KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bukit Gantang, Muhammad Adri Adha Mohd berpandangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 sebagai platform untuk membentuk mindset atau pemikiran akar umbi parti bagi memahami strategi yang akan dilaksanakan bagi memperkasa parti.
Menurut beliau ia penting sebagai menetapkan hala tuju parti terutama bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
“Kita nak tengok kejituan atau hala tuju parti khususnya untuk berdepan dengan pilihan raya yang akan datang.
“Walaupun kita ambil masa tiga ataupun dua tahun lagi yang akan datang. Namun, kita perlu ada hala tuju yang jelas dan dalam PAU ni adalah platform dia untuk kita membentuk mindset perwakilan.
“Khususnya kepimpinan di bahagian khususnya akar umbi yang ada daripada seluruh negara untuk kita betulkan mindset supaya kita nak bergerak untuk berdepan dengan pilihan raya walaupun dua atau tiga tahun yang akan datang,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Muhammad Adri dalam pada itu berkata ia juga sebagai medan dan terbaik untuk kepimpinan parti memperkukuhkan kesepaduan dalam kalangan pendukung parti ini.
Menurut beliau ia bagi memastikan bahawa semua kepimpinan dan akar umbi berada di landasan yang sama bagi membawa parti terus kekal relevan untuk memperkasa agenda rakyat.
“Insya-Allah dalam PAU nanti nak melihat suasana hubungan kita dalam parti, namun secara peribadi saya nak lihat di jauh mana hubungan kita dengan Kerajaan Perpaduan.
“Saya yakin dengan Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang kerana kita di bahagian Bukit Gantang ada hubungan baik dengan parti-parti dengan Kerajaan Perpaduan, malah kita nak akrab dan lebih rapat,” ujar beliau.
PAU 2024 akan berlangsung pada 21 Ogos ini yang akan dimulakan dengan perasmian sayap-sayap oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan mengambil tempat pada esoknya.
Untuk rekod, mesyuarat UMNO cawangan-cawangan di seluruh negara telah dilaksanakan pada 22 April sehingga 2 Jun lalu manakala mesyuarat UMNO di 191 bahagian di seluruh negara pula telah berlangsung pada 21 Jun dan melabuhkan tiranya pada 29 Julai lalu dengan jayanya. – UMNO Online