Waspada Penyalahgunaan Teknologi, Tolak Salah Laku Media Sosial – Mohd Zaidy

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Rakyat perlu waspada dan bijak membuat penilaian lantaran wujudnya penyalahgunaan teknologi dalam media sosial hingga mengelirukan masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, hal tersebut turut digunakan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab bagi memburukkan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi media sosial baru-baru ini dengan hantaran berunsur ‘parodi’ berkaitan ulang tahun Perdana Menteri.

Bidasnya, sewajarnya semua pihak memainkan peranan dan menolak perlakuan yang berunsur negatif dan bersifat untuk memburukkan pihak lain.

“Hal berkaitan penyalahgunaan media sosial ini adalah salah laku yang tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh memberi kesan buruk bukan hanya kepada pelaku tetapi juga kepada masyarakat keseluruhan,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam hal ini beliau mengajak khalayak untuk menjadikan rusuhan berterusan di beberapa bandar di seluruh United Kingdom (UK) sebagai iktibar bagaimana buruknya kesan penyalahgunaan media sosial dalam masyarakat.

“Di UK hari ini tercetus huru-hara akibat daripada menyebar maklumat salah hingga mencetuskan pertempuran ganas sejak beberapa minggu lalu.

“Akibat banyaknya pihak menyebarkan maklumat salah yang ‘toksik’, maka masyarakat mempercayai dan sukar membezakan antara yang benar dan salah.

“Kerana itulah, rakyat sendiri perlu bijak untuk membuat penilaian, jika rasa terkeliru maka semak dahulu faktanya dan sumbernya malah boleh berhubung terus dengan pihak berkaitan bagi mendapatkan kepastian,” katanya.

Lebih tepat ujarnya adalah menilai berasaskan bukti dan wibawa pihak yang menerbitkannya.

“Sekarang pelbagai perkara mudah sahaja diperoleh dengan kesemuanya menggunakan jari sahaja, tapi tak bermakna apa yang kita bahca boleh dihadam terus sebaliknya perlu dinilai dan diteliti akan kebenarannya.

“Jika palsu maka adalah menjadi tanggungjawab kita menolak perkara tidak benar dan memaparkan hanya hal-hal yang tepat untuk orang ramai,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.