PAU 2024: UMNO Akan Terus Jadi Tunjang Kepada Suara Orang Melayu, Islam – Mohd Rafi

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – UMNO akan terus menjadi tunjang kepada suara orang Melayu dan Islam seperti yang termaktub di dalam perlembagaan parti, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hasan.

Beliau juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang bakal berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos ini merupakan himpunan tahunan yang mengumpulkan ahli dan akar umbi dari seluruh negara.

“PAU akan bermula pada 21 Ogos. Ini perhimpunan tahunan, himpunan ahli-ahli ataupun keluarga UMNO di seluruh negara dan yang kita tahu UMNO ini adalah tunjang kepada orang-orang Melayu di seluruh negara.

“Saya mengharapkan pada PAU kali ini, UMNO terus menjadi suara kepada orang Melayu dan Islam di negara ini. UMNO perlu terus menjadi tunjang utama kepada masyarakat.

“Tiada parti lain mampu berbuat demikian. Kita tahu ada pihak yang mahu mengganti fungsi UMNO itu sendiri tetapi rata-rata kewujudan mereka tidak boleh diharapkan khususnya kepada orang Melayu ataupun orang Islam,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau turut mengharapkan para pemimpin untuk terus berpegang teguh kepada perjuangan dan menggunakan platform PAU bagi mendekati akar umbi.

“Jadi, saya mengharapkan barisan kepimpinan UMNO Malaysia untuk terus kekal kepada tunjang kita iaitu mempertahankan orang Melayu, Islam, bahasa dan raja-raja Melayu yang sedang cuba diperkotak-katikkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

“Gunakan PAU pada tahun ini untuk kita terus mendekati akar umbi dan kita suarakan gunakan platform ini untuk menjadi suara orang-orang Melayu khususnya orang-orang Islam,” katanya.

Untuk rekod, mesyuarat UMNO untuk cawangan-cawangan di seluruh negara telah dilaksanakan pada 22 April sehingga 2 Jun lalu.

Mesyuarat UMNO untuk 191 bahagian di seluruh negara pula telah berlangsung pada 21 Jun dan melabuhkan tiranya pada 29 Julai lalu dengan jayanya.

PAU 2024 akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024, menghimpunkan seluruh pemimpin di peringkat pusat dan bahagian dalam usaha untuk memperkukuh parti di persada politik negara. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.