PAU 2024: Turun Beramai-Ramai, Tunjuk Solidariti Kepada Parti – Jamal
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi menyeru para perwakilan yang terpilih mewakili bahagian untuk ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 agar turun beramai-ramai bagi menunjukkan solidariti kepada parti.
Ujarnya, PAU 2024 yang akan berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur ini sudah semestinya akan menjadi medan penyatuan terbesar di kalangan pemimpin dan akar umbi.
“Bermula pada 21 sehingga 24 Ogos ini, PAU 2024 akan berlangsung di WTC dan saya mengharapkan agar para perwakilan yang telah terpilih termasuklah pemerhati akan turun beramai-ramai.
“Ini dapat menunjukkan solidariti kita kepada parti. PAU yang dianjurkan pada setiap tahun ini juga menjadi medan penyatuan terbesar untuk para pemimpin dan akar umbi,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang ditemui ketika berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri berharap agar kemenangan UMNO/Barisan Nasional (BN) bakal menjadi hadiah kepada seluruh perwakilan.
“Saya mengharapkan agar kemenangan UMNO/BN di PRK Nenggiri akan menjadi hadiah kepada kita semua semasa di PAU nanti.
“Saya juga berharap momentum kemenangan ini akan dapat dibawa ke pilihan Raya yang paling hampir iaitu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” katanya.
Untuk rekod, mesyuarat UMNO untuk cawangan-cawangan di seluruh negara telah dilaksanakan pada 22 April sehingga 2 Jun lalu.
Mesyuarat UMNO untuk 191 bahagian di seluruh negara pula telah berlangsung pada 21 Jun dan melabuhkan tiranya pada 29 Julai lalu dengan jayanya.
PAU 2024 akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024, menghimpunkan seluruh pemimpin di peringkat pusat dan bahagian dalam usaha untuk memperkukuh parti di persada politik negara. – UMNO Online