PRK Nenggiri: Felda Perasu, Tenang Dalam Gelora

SAYA percaya Nenggiri akan berubah wajah dalam tempoh kurang dari dua tahun jika pengundi Felda di Dewan Undangan Negeri (DUN) N43 Nenggiri memberi mandat kepada calon dari Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 17 Ogos depan.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala pencabarnya daripada Pas merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Mohd Rizwadi Ismail.

Felda Perasu satu-satunya rancangan Felda yang terdapat di DUN tersebut dan mempunyai 244 pengundi berdaftar. Kita melihat kehidupan ramai peneroka mengalami perubahan kehidupan yang ternyata jauh lebih baik setelah menyertai Felda.

Inilah simbol kejayaan Barisan Nasional (BN) yang telah berjaya mengukuh dan menjayakan Felda ini. Buktinya kini terhasil 317 rancangan Felda yang tersusun dan terancang dan diiktiraf di dunia sebagai program pembasmian kemiskinan yang paling berjaya.

Sejak ditubuhkan pada 1956, peneroka Felda yang dahulunya diberi sekeping tanah setiap seorang untuk diteroka dan diusahakan, bukan sahaja mengubah hidup mereka lebih selesa, tetapi kini ada yang dapat hidup mewah.

Calon yang diketengahkan BN pada PRK ini juga merupakan Pengerusi Majlis Belia Jajahan Gua Musang, adalah individu terbaik dan menjadi harapan untuk diangkat sebagai ‘jambatan’ penghubung antara Nenggiri dengan pentadbiran kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Jika dibuka lembaran sejarah Gua Musang ini, jasa dan bakti oleh Ayahanda YM Tengku Razaleigh Hamzah adalah punca kepada keberjayaan pembangunan kemajuan di Kelantan termasuklah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan juga Felda.

Perkara ini menunjukkan Felda ialah pasaran politik Melayu terbesar di luar bandar. Mana-mana parti politik berteras Melayu ditentukan oleh hayat politik daripada pengundi Felda.

Kita bersyukur kerana terdapat pelarasan dan koordinasi yang baik antara Kerajaan Madani dalam masa setahun dua ini, kita juga berjaya memberi perhatian lebih baik dan terbaik yang pernah kita lakukan.

Permintaan kami berhubung lampu jalan dan isu rumah generasi baharu yang terbengkalai antara yang diberi perhatian dan projek ini memberikan manfaat dan impak yang besar.

Majlis Belia Felda Malaysia (MBF) telah ditubuhkan pada 7 Ogos 1991, telah sama-sama duduk dan merasai denyut nadi suka dan duka Peneroka Felda selama hampir 33 tahun.

Kami mengakui bukannya mudah untuk menyelesaikan isu yang timbul apatah lagi apabila ia melibatkan Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA) Felda serta Isu Perwarisan.

Kalau ada ahli politik pembangkang yang masuk ke Felda Perasu dan berjanji mampu menyelesaikan Isu GSA, dengan memilih calon pembangkang maka ia hanyalah satu tipu-helah dan janji-janji palsu sahaja.

Maka tidaklah menghairankan apabila tiba waktu Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) mahupun PRK maka akan keluar pelbagai isu berkaitan Felda ini, dan akan timbul juga para penyelamat yang sebelum ini tidak pernah susah dan senang bersama peneroka Felda.

Kita percaya hanya kerajaan yang kukuh dan stabil dapat menjamin hak peneroka Felda, generasi kedua dan ketiga mereka terus diperjuangkan. Kami menyedari bahawa harapan semua pemimpin dan generasi agar usaha ini tidak berhenti di sini. Politik tidak akan pernah selesai dan perbezaan politik akan menyebabkan segala usaha memajukan Felda akan terumbang-ambing.

Kepada penduduk Felda mari kita jayakan usaha ini dahulu, kita yakin, warga Felda tahu memilih siapa yang mereka patut pilih. Pilihlah mereka yang telah lama dan berpengalaman bukan sahaja mentadbir negara malahan mentadbir Felda selama lebih 68 tahun.

Saya percaya Warga Felda menghargai dan menyokong segala usaha yang dibuat oleh kerajaan yang peka pada keperluan warga Felda. Warga Felda perlu cakna dan sentiasa bermuafakat agar tiada pihak dapat mengambil kesempatan sehingga memungkinkan kesilapan memilih mereka yang sebenarnya tidak mempunyai keupayaan dan minat untuk membawa suara warga Felda di dalam DUN Nenggiri kelak.

Selamat mengundi buat semua warga Felda Perasu. Setiap undi anda menentukan masa depan anda dan keluarga. – UMNO ONLINE

Oleh:


M. Syahiran Annuar
Setiausaha Agung
Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM)

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.