Jangan Sia-Siakan Peluang Yang Ada, Kemenangan Awie Boleh Jadi Batu Loncatan Untuk Nenggiri
GUA MUSANG, 10 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN), Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih dikenali Awie mempunyai kelebihan dan kemampuan yang tersendiri sekiranya diberikan kepercayaan oleh pengundi DUN berkenaan pada 17 Ogos nanti.
Perkara berkenaan dinyatakan Ketua UMNO Putatan, Jeffrey Nor Mohamed yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah. Beliau turut turun membantu kempen BN di kawasan berkenaan bersama calon dan jentera tempatan yang lain.
Bagi beliau kemesraan calon bersama penduduk setempat di samping keakraban bersama golongan muda dan pelbagai peringkat yang lain mampu memberi kelebihan kepada masyarakat di kawasan tersebut sekiranya Awie diberikan amanah nanti.
“Kita harap penduduk di Nenggiri dapat memberikan peluang kepada calon BN yang ketengahkan anak muda supaya beliau dapat menjadi batu loncatan kepada perubahan politik di Kelantan ini. Saya penuh yakin dan percaya kita memperjuangkan untung nasib rakyat dan beliau mampu lakukannya.
“Apa yang penting beliau boleh menjadi satu asas yang menunjukkan bahawa BN ini bukan seperti apa yang mereka katakan. Kita betul-betul memperjuangkan nasib rakyat.
“Kita faham BN tidak mempunyai kerusi yang cukup di Kelantan ini, kalau kita menang pun kita ada tiga kerusi daripada kerajaan kepaduan dan sudah tentu ianya tidak dapat mengubah kerajaan sedia ada tetapi percayalah ini merupakan satu asas kepada ‘check and balance’ yang lebih baik,” katanya kepada UMNO-Online
Terdahulu beliau mengadakan kempen dan ramah mesra bersama Pengerusi BN Sabah, Datuk Bung Moktar radin bersama jentera tempatan lain di sekitar pusat daerah mengundi (PDM) Jeram Tekoh.
Kata beliau lagi penambahan kepada tiga kerusi pembangkang di DUN Kelantan sudah pasti bakal memberi impak yang amat baik bukan sahaja untuk masyarakat di DUN Nenggiri malah untuk Kelantan itu sendiri.
“Sekarang ini ada dua, kita tambah satu lagi ianya mungkin menjadi lebih baik. Sudah tentu ‘check and balance’ ini boleh memberikan impak yang bagus kepada negeri Kelantan. Tambahan pula kita menampilkan wajah baharu, sudah tentu mempunyai idea baharu dan sebagainya lagi untuk manfaat bersama.
“Jadi saya merayulah… kepada penduduk dan pengundi di Nenggiri ini berikan peluang… bukan seperti apa yang diperkatakan dan difitnah oleh pimpinan lawan kita. Kerana bagi saya, kita tidak mahu begitu. Jadi kita harapkan penduduk dan pengundi di Nenggiri ini melakukan perubahan yang sebaik mungkin iaitu dengan memberikan undi yang terbaik kepada calon kita Awie,” ujarnya.- UMNO Online