Awie Bakal Wakil Rakyat Boleh Diharapkan, Mampu Penuhi Keperluan Masyarakat – Ahmad Zahid

GUA MUSANG, 10 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi sekali lagi menegaskan calon yang diketengahkan parti, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani  adalah seorang wakil rakyat yang boleh diharapkan sekiranya pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri memberikan kepercayaan mereka pada 17 Ogos nanti.

Bagi beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, Mohd Azmawi atau lebih dikenali Awie adalah wakil rakyat yang boleh diharapkan untuk melaksanakan segala janji  dan mampu membawa perubahan yang positif serta memenuhi kehendak rakyat.

“Kita menggambarkan bahawa Awie adalah wakil kita, wakil untuk melaksanakan perkara-perkara yang telah saya sebutkan di Nenggiri ini. Saya sangat yakin Awie akan buat, anak muda ini bukan sebarang anak muda. Saya kenal beliau lama dan Insya-Allah beliau mampu menggalas amanah kelak sekiranya mendapat kepercayaan pengundi DUN Nenggiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra ‘Peneroka dan Felda Berpisah Tiada’ di Dewan Semai Perasu, di sini pada Jumaat yang turut dihadiri Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Zahid seterusnya menambah amat rugi sekiranya peluang yang ada tidak dimanfaatkan oleh masyarakat di DUN berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Neggiri 17 Ogos depan.

”Awie ini orang bertanggungjawab, Awie adalah pilihan yang baik dan rugi jika orang Nenggiri tidak memilih beliau,” ujarnya.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh PPBM pada 13 Jun. – UMNO Online

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.