PRK Nenggiri : Ahmad Zahid Ingatkan Pengundi Felda Jangan Mangsa Kempen

GUA MUSANG, 10 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan masyarakat di Felda Perasu agar tidak mudah terperangkap dan menjadi mangsa kepada mereka yang mahu merosakkan komuniti di kawasan berkenaan dengan pelbagai janji yang ditabur.

Menurut beliau masyarakat setempat khususnya para pengundi yang akan membuang undi pada 17 Ogos nanti perlulah membuat pertimbangan sebaiknya dengan menolak kempen sedemikian rupa yang tidak menguntungkan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

“Jika ada orang di luar Perasu ini mahu merosakkan Felda, kita tolaklah orang-orang itu. Tolaklah sebab mereka akan merosakkan kita, yang jadi mangsa adalah orang Felda Perasu. Selepas kempen mereka balik ke tempat masing-masing. Jadi fikir secara bijak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra ‘Peneroka dan Felda Berpisah Tiada’ di Dewan Semai Perasu, di sini Jumaat yang turut dihadiri Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah seterusnya menambah beliau berazam untuk membantu sebaiknya warga Felda serta masyarakat yang lain.

“Insya-Allah saya akan bantu Felda bukan sahaja di Perasu malah di tempat-tempat lain.  Kalau saya cakap tak betul di sini, nanti akan ada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota. Dalam dunia moden hari ini jangan cakap siang lain, malam lain sebab semua akan dirakam… begitu juga nanti jangan cakap di Perasu lain, di Mahkota pula lain.

“Saya bukan anak Felda… tetapi ada ramai saudara-mara dari felda. Apa yang penting sekali saya diberikan tanggungjawab untuk menjaga Felda, saya berjanji Felda ialah keutamaan saya,” ujarnya.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon Pas, Mohd Rizwadi Ismail.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun. – UMNO Online

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.