Ambil Pengajaran Rusuhan Di UK, Jangan Mudah Percaya Maklumat Media Sosial – Mohamad Alamin
KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berharap rakyat Malaysia untuk mengambil pengajaran daripada insiden rusuhan yang berlaku di United Kingdom (UK).
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Pengerusi Sekretariat Kelab UMNO Luar Negara berkata ini termasuk membabitkan maklumat yang diperoleh di media sosial.
Menurut beliau ini kerana info yang diperoleh daripada media sosial ini perlu mendapat kesahihan terutama membabitkan isu sensitif seperti perkauman, agama dan politik.
“Pengaruh media sosial pada hari ini susah nak ditapis. Jadi ambil iktibar daripada kejadian ini bahawa kita jangan terlalu cepat menerima berita-berita yang belum disahkan kerana insiden yang berlaku di UK pengajaran kepada kita supaya jangan terlalu cepat percaya dengan media sosial yang disebarkan.
“…. kerana percaya kepada sebarang isu-isu di media sosial yang menyebabkan ketegangan yang tak perlu seperti anti-imigran, Islamophobia dan macam-macam. Sama di Malaysia juga, supaya kita ambil iktibarnya supaya jangan percaya kepada apa juga isu yang dihidangkan di media sosial termasuk juga isu politik negara.
“Kadang-kadang kita tertarik dengan kandungan di media sosial tanpa membuat sebarang verifikasi terhadap isu-isu yang diberikan. Jadi pengajaran di UK itu jangan sampai berlaku di negara kita ini kerana media sosial yang tak terkawal, suka-suka nak sebarkan isu-isu yang seperti ini akhirnya berlaku ketegangan kaum dan agama,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Mohamad dalam pada itu berkata rusuhan dan perhimpunan besar-besaran ini boleh berlaku kepada mana-mana negara, sekiranya rakyat dengan mudah mempercayai maklumat yang tidak benar.
Beliau berkata, rakyat perlu bertanggungjawab dengan mendapatkan info yang berkualiti daripada pihak bertanggungjawab bagi memastikan isu seperti ini tidak mencetuskan perbalahan pelbagai pihak.
“Tak dikecuali negara maju sekalipun benda ini akan berlaku bahkan negara membangun seperti Malaysia juga tak dikecuali.
“Jadi kita kena senantiasa berwaspada dan membuat verifikasi dengan mereka yang berautoriti untuk mendapatkan maklumat yang sebenar,” ujar beliau.
Media sebelum ini melaporkan, pihak berkuasa UK berhadapan tekanan yang semakin meningkat pada Ahad (4 Ogos) untuk menamatkan rusuhan terburuk England dalam tempoh 13 tahun selepas insiden pembunuhan kanak-kanak yang sekali gus mencetus kekacauan membabitkan perusuh sayap kanan di seluruh negara.
Pergolakan berkaitan maklumat yang salah mengenai insiden tikaman beramai-ramai yang membunuh tiga kanak-kanak perempuan minggu lalu merebak ke beberapa pekan dan bandar pada Sabtu lalu, ketika penunjuk perasaan anti-imigresen bertempur dengan polis.
Kira-kira 90 orang ditangkap selepas pertempuran meletus di perhimpunan paling kanan di banyak tempat termasuk Liverpool, Manchester, Bristol, Blackpool dan Hull serta Belfast di Ireland Utara. – UMNO Online