‘Move On’ Untuk Kukuhkan UMNO, Elak Sengketa Dalam Parti – Zainuri

KLANG, 8 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Klang, Datuk Zainuri Zainal menyambut baik seruan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan anggota parti ‘move on’ bagi memperkukuh kembali UMNO dengan memahami keberadaan dalam Kerajaan Perpaduan hari ini.

Katanya, apa yang perlu pada hari ini adalah untuk memperkukuhkan parti yang bermula di bahagian masing-masing.

“Kita tidak mahu lagi disebabkan sengketa antara kita maka merosakkan keseluruhan institusi UMNO itu sendiri. Kita dah ada contoh sebelum-sebelum ini, apabila kita tidak tahu dimana letaknya diri kita di dalam parti.

“Maknanya kalau ada tugas presiden, dia jalankan tugas presiden… kalau dia timbalan presiden, dia jalankan tugas timbalan presiden dan naib presiden, begitu juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), ketua bahagian, ketua cawangan dan lain-lain.

“Masing-masing mempunyai tugas yang perlu dijalankan mengikut atas jawatan yang disandang. Janganlah cakap nak galas jawatan orang lain, itu yang akan jadi huru-hara parti,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berkaitan seruan Ahmad Zahid ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Klang, pada Ahad yang menyeru kepada kebangkitan dan persefahaman dalam parti.

“Antara perkara ataupun amanat yang dibawa iaitu yang diucapkan Presiden ialah untuk kita ‘move on’… maknanya ‘move on’ daripada segala-galanya.

“Jadi hari ini dengan gagasan ataupun dengan semangat baharu, kita walaupun kalah pada pilihan raya yang lepas, tapi Alhamdulillah masih ada ruang dan sinar kepada UMNO ini untuk membentuk ataupun untuk bergabung menjadi salah sebuah parti dalam Kerajaan Perpaduan.”

Ujarnya, dengan adanya kepimpinan-kepimpinan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan maka penilaian dapat dilihat secara keseluruhan.

“Ada indikator ataupun prestasi-prestasi menteri-menteri UMNO yang tujuh menteri duduk dalam Kerajaan Perpaduan. Mereka telah memberikan prestasi terbaik di kalangan jemaah menteri dan ini cukup membanggakan malah memberi nilai tambah kepada UMNO sendiri.”

Justeru katanya, sebagai anggota parti maka keutamaan adalah berperanan memperkukuhkan UMNO.

“Kita perkukuhkan parti kita dan menarik balik sokongan orang Melayu untuk memberi sokongan ataupun untuk bersama-sama dengan UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit