‘Menteri Besar Berhentilah Cakap Bohong Dan Memperbodohkan Rakyat Perlis’ – Syed Atif

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Setiausaha Penerangan UMNO Negeri Perlis, Syed Atif Syed Abu Bakar meminta Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli untuk tidak berbohong dengan kenyataan yang diberikan kepada media berkenaan pelaburan di negeri itu.

Menurut beliau, ia juga dilihat seperti memperbodohkan rakyat Perlis apabila menyatakan nilai pelaburan tersebut bernilai billion Ringgit.

“Wahai kerajaan Pas Perlis… berhentilah cakap bohong dan memperbodohkan rakyat Perlis.

“Kesian pakcik-makcik kampung yang tak tahu apa-apa dok kena bohong dengan MB Pas yang asyik bohong sembang apuih belat.

“Setakat nak ulang sembang bohong billion- billion macam ni, sampai habis penggal nanti pun lima duit tak akan masuk hasil untuk negeri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menambahkan lagi persoalan apabila Mohd Shukri tidak memaklumkan syarikat yang dikatakan mahu melabur.

“Sejak 2022, satu nama syarikat pun tak diumum… sebab tak diumum hanya satu saja memang MB Pas penipu ni mengetuai sebuah kerajaan Pas penipu.

“Siakap, senohong, gelama, ikan duri cakap bohong dan jadi pencuri,” ujar beliau.

Terdahulu, media melaporkan Mohd Shukri sebagai berkata sebanyak 12 pelaburan baharu telah diluluskan kerajaan negeri membabitkan nilai pelaburan sebanyak RM2 bilion bagi tempoh sejak November 2022.

Beliau malah berkata kerajaan negeri juga optimis akan menerima lebih banyak pelaburan baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit