Jentera Penerangan Terus Diperkasa, Gerak Kerja Untuk Menang Pilihan Raya – Mohd Rafi
BEAUFORT, 7 Ogos – Untuk menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, jentera Penerangan UMNO di setiap peringkat haruslah terus diperkasakan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, UMNO/Barisan Nasional (BN) kalah pada PRU ke-14 dan 15 kerana fitnah yang dimainkan oleh pihak lawan dan gagal ditepis oleh jentera UMNO termasuk penerangan.
“Hari ini parti telah bangun daripada tidur. Parti merasakan untuk menang, jentera penerangan perlu terus diperkasakan. Itu kunci utama untuk menang pilihan raya. Ini realitinya.
“Kita kalah pada PRU ke-14 kalah kerana permainan fitnah. Permainan propaganda yang menghina kita. Apa yang lebih sedih jentera dan ahli parti gagal menepis apa yang dimainkan oleh pihak pembangkang.
“Sepatutnya kita mempertahankan. Jawab isu-isu yang dilontarkan tetapi kita tidak lakukan. Pada tahun 2018 buat kali pertama kita kalah pilihan raya. Kita semua merasakan kesedihannya, keperitannya. Seperti tidak percaya kita hilang kerajaan yang selama ini kita bangunkan dalam sekelip mata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah sempena Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Beaufort yang diadakan pada Sabtu.
Menurutnya, gerak kerja para jentera untuk menuju pilihan raya mestilah diubah dan disesuaikan mengikut peredaran zaman memandangkan landskap politik pada masa ini telah jauh berubah.
“PRU yang lalu kita kalah lagi dan lagi teruk daripada tahun 2018. 2018 kita menang 79 kerusi. PRU ke-15 pada tahun 2022 kita hanya menang 30 kerusi. Namun pada kali ini kita sebahagian daripada kerajaan. Sedangkan hakikat yang kita perlu terima adalah UMNO dalam keadaan kalah. Itu perlu kita terima.
“PRN ini adalah pilihan raya yang penting untuk UMNO di Sabah. Saya nampak kemenangan ada di depan mata. Tinggal sahaja kita ubah sedikit gerak kerja parti. Kita tidak boleh mengikut kaedah lama. Zaman itu telah berlalu.
“Perlu diteruskan tetapi tidak boleh mengharapkan rencananya menang. Sedar ataupun tidak perubahan landskap politik telah berubah jauh daripada apa yang kita nampak dulu,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa semua lapisan kepimpinan UMNO Bahagian perlu menggunakan media sosial untuk memudahkan mereka mendekati para pengundi.
“Penentu kemenangan kepada kita khususnya di Sabah adalah jentera penerangan di setiap bahagian. Ini realitinya. Di Beaufort ini ada lebih 40,000 pengundi. Dalam masa lima tahun Datuk Siti Aminah menjadi Ahli Parlimen, paling maksimum beliau dapat bertemu dengan pengundi Beaufort, tidak akan lebih daripada 20,000 orang.
“Platform telah disediakan cuma saya nampak di Beaufort ini tidak menggunakan media sosial. Untuk menang, saya lihat kita perlu memanfaatkan segala media sosial yang ada agar lebih mudah kita mendekati para pengundi dalam skala besar bagi tempoh masa singkat,” katanya lagi.
Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Beaufort telah diadakan pada Sabtu dan disertai lebih 400 orang jentera penerangan di peringkat bahagian mahupun cawangan.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching dan seluruh kepimpinan UMNO Bahagian Beaufort empat peringkat. – UMNO Online