Wanita UMNO Dukacita Pemergian Sharifah Azizah, Serahkan Kekosongan Kerusi Kepada MKT – Noraini

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berharap semua pihak menghormati pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang baru sahaja meninggal dunia baru-baru ini.

Beliau berkata segala perbicangan membabitkan kekosongan kerusi DUN terbabit diserahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan pihak pengurusan tertinggi parti.

“Dalam tempoh berdukacita ini, Wanita UMNO menyeru semua pihak agar mengambil pendekatan yang sensitif serta memberi ruang kepada mereka yang sedang berduka atas pemergian ADUN Mahkota.

“Maka, Wanita UMNO berpendirian bahawa adalah lebih sesuai untuk menahan diri dari membincangkan isu berkaitan kerusi DUN Mahkota.

“Biarlah isu berkenaan dibincangkan melalui Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan pihak pengurusan tertinggi Parti,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Wanita UMNO juga menghargai kesedaran serta empati yang ditunjukkan oleh masyarakat dan mengajak semua untuk bersatu dalam memberikan sokongan kepada keluarga Allahyarhamah.

Norain berkata ini kerana kehilangan Allahyarhamah sangat dirasai oleh Wanita UMNO serta berharap ahli keluarga diberi kesabaran dalam menghadapi dugaan ini.

“Wanita UMNO menginsafi pemergian Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah yang baru sahaja meninggal dunia baru-baru ini dan mengucapkan takziah yang kepada keluarga dan rakyat bagi kawasan DUN Mahkota.

“Wanita UMNO turut berkongsi merasai kesedihan ini dan menghormati sensitiviti yang dirasai oleh semua pihak termasuk keluarga Allahyarhamah.

“Semoga roh beliau dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan keluarga beliau diberi kesabaran dalam menghadapi dugaan ini,” ujar beliau.

Terdahulu Allahyarhamah yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia, 63 tahun itu meninggal dunia pada Jumaat lalu ketika menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat daripada pendarahan dalaman.

Allahyarhamah menang kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.

Sebelum itu, Sharifah Azizah merupakan ADUN Penawar, mulai 2018 hingga 2022 lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.