UMNO Masih Relevan, Kuat Kerana Sokongan Akar Umbi – Mohd Jafni
KULAI, 6 Ogos – Ahli-ahli UMNO di akar umbi adalah kekuatan yang menjadikan parti terus relevan lantas menjadi harapan kepada bangsa bagi mendepani pelbagai cabaran pada masa hadapan.
Ketua UMNO Bahagian Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor memaklumkan bahawa gerak kerja pada hari ini adalah berhadapan cabaran iaitu mendepani kepada isu termasuk fitnah, persepsi yang buruk kepada parti atau kepada pemimpin UMNO yang perlu ditangkis dan dijelaskan kebenarannya.
Ujar beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Johor, apa-apa gerak kerja yang dibuat atau penyelesaian isu yang dilaksana akan diuar-uarkan termasuk dalam media sosial supaya rakyat tahu bahawa Barisan Nasional (BN) dan UMNO boleh dipercayai dan mampu disandarkan bagi membawa masa depan lebih baik.
“Saya melihat bahawa kebanyakan ahli-ahli akar umbi ini masih sayang kepada UMNO walaupun mungkin mereka bukan ahli parti tetapi mereka orang Melayu, mereka meletakkan harapan yang tinggi kepada UMNO.
“Akar umbi ini adalah kekuatan untuk UMNO itu sendiri. Sebab itu hari ini gerak kerja kita ialah berhadapan dengan isu, kita berhadapan dengan berjumpa dan kita beri penjelasan ataupun kita ada tindakan untuk selesaikan isu. Itu yang utama.
“Bila rakyat melihat wakil-wakil rakyat yang ada ini menyelesaikan isu mereka yang mungkin bertahun-tahun tidak selesai, maka keyakinan dan harapan mereka ada untuk kita,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata keberadaan UMNO/BN dalam Kerajaan Perpaduan hari ini dapat menunjukkan kebertanggungjawaban pemimpin parti melaksanakan amanah.
“Punca kuasa adalah kerana UMNO yang membolehkan kita berkhidmat. UMNO selalu bersikap bertanggungjawab dalam urusan sementara ahli perlu beri tauladan untuk terus menyokong parti.
“Sebab itu dengan 40 kerusi yang kita ada di Negeri Johor, menerusi kerajaan dah tentulah gerak kerja kita sekarang ni adalah dengan menggunakan kuasa yang ada untuk selesaikan isu-isu yang rakyat hadapi berkurun lamanya.
“Jadi akhirnya nanti apabila sampai pilihan raya, kita nak minta kembali kepercayaan ini untuk mereka beri mandat semula pada kerajaan yang ada bagi mentadbir lagi.”
Beliau memaklumkan bahawa di peringkat masyarakat mereka tidak melihat kepada parti politik sebagai keutamaan sebaliknya adalah penyelesaian kepada permasalahan yang berlaku.
“Di peringkat masyarakat tak melihat parti sebagai keutamaan, bagi mereka adalah bagaimana satu-satu isu yang disuarakan dapat diselesaikan. Jadi itulah yang sedang kita gerakkan, fokus kita iaitu menyelesaikan segala isu rakyat.
“Kita berharap nanti bila sampai masa PRN atau PRU, rakyat melihat muka kita atau imej UMNO/BN, ini orang yang boleh bekerja dan menyelesaikan masalah-masalah mereka dan inilah yang wakil-wakil rakyat atau pemimpin-pemimpin yang mereka boleh sandarkan harapan untuk masa depan yang lebih baik.
“Jadi saya lihat di peringkat pemimpin-pemimpin baik di peringkat kerajaan ataupun parti, memang kita faham bahawa kita tidak boleh retorik lagi bercakap tentang kita buat ni kita buat tu sebab zaman sekarang rakyat semakin celik dan dia nak tahu hasil,” katanya kepada UMNO Online.
Terdahulu beliau berucap dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Kulai yang dirasmikan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, pada Sabtu.
Mengulas berkaitan mesyuarat terbabit, Mohd Jafni melahirkan kesyukuran kerana ia berlangsung dengan lancar dan mendapat sokongan daripada para perwakilan serta akar umbi UMNO.
“Alhamdulillah di peringkat UMNO Bahagian Kulai ini penggal pertama saya sebagai Ketua UMNO Bahagian dan kehadiran sangat memberangsangkan iaitu sebanyak lebih 90 peratus hadir.
“Jadi kita boleh melihat bagaimana semangat di peringkat perwakilan-perwakilan akar umbi ini sangat membara. Hampir keseluruhan baik Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 100 peratus bersidang di peringkat cawangan-cawangan. Jadi ini memperlihatkan bahawa kekuatan UMNO di peringkat akar umbi semakin meningkat.
“Sebenarnya di Johor ini semboyan untuk ke arah pilihan raya sedang dipalu dan gerak kerja di peringkat bahagian sudah pun mula cuma dari segi parti dan kerajaan itu, kita mahukan supaya imej UMNO/BN akan terus diperkasa dan dipertingkatkan,” katanya lagi. – UMNO Online