Jentera Penerangan Perlu Berfungsi Sebaiknya, Tepis Isu Dimainkan Pihak Lawan – Awang Aslee
BEAUFORT, 6 Ogos – Jentera penerangan di setiap peringkat perlulah berfungsi sebaiknya agar segala isu negatif yang dimainkan oleh pihak lawan dapat ditepis dan ditangani.
Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, jentera penerangan perlulah mengambil inisiatif untuk memberikan penjelasan kepada para pengundi mengenai isu-isu dibawa pihak pembangkang.
“Apabila saudara sekalian berada di kawasan masing-masing, berikanlah penjelasan kepada para penyokong dan akar umbi. Sebab itu saya katakan bahawa biro penerangan sama ada di peringkat pusat, negeri, bahagian, pusat daerah mengundi (PDM) dan cawangan amat penting.
“Ini kerana tuan-tuan dan puan-puan yang memainkan peranan penting dalam membawa ataupun memberikan maklumat kepada ‘grass root’ kita di bawah. Terutamanya mengenai isu-isu yang dimainkan oleh pihak lawan kita. Isu-isu yang cuba mahu diketengahkan oleh mereka.
“Ini semua adalah tanggungjawab penerangan. Sebab itu saya selalu berbincang dengan Ketua Penerangan UMNO Bahagian supaya memperkukuhkan jentera atau biro penerangan kita di setiap peringkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Program Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Beaufort yang diadakan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan jentera penerangan untuk tidak leka dengan isu-isu semasa dan lebih bersiap siaga untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan tiba tidak lama lagi.
“Sekiranya jentera penerangan kita tidak berfungsi dengan baik, maka mudahlah pihak lawan untuk menjatuhkan kita dengan menyebarkan info-info negatif disertai fitnah yang telah mereka laksanakan sejak sekian lama.
“Kita akan menghadapi PRN. Jadi, saya mengharapkan ketua-ketua penerangan di semua peringkat… jangan kita lalai dan leka dengan isu-isu semasa kerana pihak musuh sentiasa mencari kelemahan kita apa lagi sekarang ini semua maklumat berada di hujung jari.
“Jadi, segala usaha perlu digiatkan termasuklah dengan mendekati para pengundi. Santuni mereka. Tatahkan semula UMNO/BN di hati mereka agar kita kembali menjadi dominan di negeri dan negara ini,” katanya lagi.
Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Beaufort telah diadakan pada Sabtu dan disertai lebih 400 orang jentera penerangan di peringkat bahagian mahupun cawangan.
Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching dan seluruh kepimpinan UMNO Bahagian Beaufort empat peringkat. – UMNO Online