UMNO Tak Pernah Ketandusan Pemimpin, Main Peranan Laksana Agenda Rakyat – Azalina
KUALA LUMPUR, 5 Ogos – UMNO tidak pernah ketandusan pemimpin sebaliknya setiap barisan kepimpinan memainkan peranan masing-masing bagi memastikan parti keramat ini terus melaksanakan agenda kebajikan rakyat, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) malah berkata sikap rasional dan matang dalam UMNO memungkinkan setiap dalam kalangan pemimpin terus bersetia demi memastikan kelangsungan parti ini dalam membawa perjuangannya.
Menurut beliau berbeza dengan segelintir pihak yang bertindak melompat parti ketika mengalami kekalahan dan ketika pemilihan seperti yang berlaku sebelum ini.
“UMNO tak pernah ketandusan pemimpin, saya sebagai ketua bahagian kalau saya tak ada, timbalan ganti… jika timbalan tak ada, naib ganti… naib tak ada sayap ganti. Ini kehebatan kita sebagai satu parti. Jadi apa sebabnya kita nak takut sangat?
“Kita ni parti yang bersejarah, ada kekuatan namun jadi masalah ialah yang tinggalkan kita ini, bila yang kalah bertanding. Dia kalah di bahagian, dia lompat lepas… tu dia kacau dari dalam dan dia bawa lari,” katanya.
Azalina yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang berkata demikian dalam ucapan sempena Kursus Penerangan Media Digital Wanita UMNO Malaysia di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta kepimpinan Wanita Pusat dan negeri.
Dalam pada itu, Azalina turut menyeru kepimpinan Wanita UMNO akar umbi untuk menjalankan gerak kerja sebaiknya dan bersepadu dalam semangat kekeluargaan UMNO.
Katanya lagi, keyakinan tersebut perlu dipahat bagi memastikan perjuangan parti ini sentiasa relevan bersama kepimpinan sedia ada.
“Hari ni kita kena yakin dan apa-apa jangan salahkan parti. Parti ini bersejarah, banyak kelebihan… banyak yang parti kita bagi kepada bangsa kita, jadi jangan khuatir.
“Kita kena yakin dengan kebenaran, yakin dengan ketua kita sebagaimana dalam Wanita UMNO dah lantik Datuk Seri Noraini jadi ketua… kita geraklah sebagaimana yang dia mahu demi masa depan parti.
“… tapi janganlah belum apa-apa kita rosakkan daripada dalam, jika tak suka jangan nak boikot … tak boleh begitu,” tegas beliau lagi. – UMNO Online