Orang Ramai Diajak Sertai Himpunan Pembebasan Palestine Ahad Ini

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Himpunan Pembebasan Palestin akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada hari Ahad ini.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput untuk bersama-sama menyatakan solidarity dalam perhimpunan yang dijadual berlangsung pada pukul 8 malam itu.

Dilaporkan, himpunan tersebut dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam Perdana Menteri berkata perhimpunan tersebut adalah antara tindakan bagi menyampaikan mesej bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh dan menyokong Palestin.

Haniyeh dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di utara Tehran pada kira-kira 2 pagi waktu Iran, 31 Julai lepas.

Beliau berada di ibu negeri Iran itu untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran yang baharu, Masoud Pezeshkian.

Pada 24 Okt tahun lepas, Himpunan Malaysia Bersama Palestin pernah diadakan di Axiata Arena yang menghimpunkan pemimpin politik Kerajaan Perpaduan dan pembangkang bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.