Untuk Kemudahan Penduduk, Pusat GiatMARA Kota Belud Bakal Dinaik Taraf
KOTA BELUD, 2 Ogos – Pusat GiatMARA Kota Belud akan dinaik taraf sebagai pusat Latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi melahirkan tenaga mahir khususnya di kalangan belia tempatan di daerah ini.
Ketika mengumumkan perkara ini, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sejumlah RM500,000 diluluskan untuk menaik taraf Pusat GiatMARA Kota Belud khususnya bagi membaiki bangunan dan menaik taraf beberapa kelengkapan dan peralatan di pusat tersebut.
“Saya sudah meminta Pengarah Pusat GiatMARA negeri menyediakan kertas kerja untuk tujuan kerja-kerja naik taraf ini dan kita akan mulakan kerja-kerja pembaikan dan sebagainya dalam masa terdekat ini,” katanya ketika berucap selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Belud baru-baru ini di Dewan Kompleks Sukan Botung dekat sini, baru baru ini.
Dr Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, bagi melicinkan perjalanan GiatMARA Kota Belud, proses naik taraf kemudahan dan insfrastrukur perlu dilakukan bagi menyediakan pusat pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif untuk para pelatih di pusat tersebut.
Terdahulu membangkitan perkara tersebut, Ketua UMNO bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan Norjan meminta kerajaan khususnya MARA agar dapat menaik taraf segala fasiliti di pusat GiatMARA Kota Belud.
Katanya Pusat GiatMARA Kota Belud adalah yang terawal dibina di Sabah dan telah beroperasi hampir 31 tahun menyebabkan beberapa kemudahan dan insfrasrukturnya telah usang dan perlu dilakukan proses pembaikan dan naik taraf bagi menjamin keselesaan kepada para pelatih yang belajar di pusat berkenaan.
“Kami bersyukur perkara yang dibangkitkan ini mendapat maklum balas yang positif dari pengerusi MARA dan berharap ianya dapat dilaksanakan segera untuk menjamin keselesaan para pelatih di pusat ini,” katanya.
Terdahulu dari itu, sebelum hadir untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Belud, Dr Asyraf bersama rombongan sempat melakukan lawatan ke Pusat GiatMARA Kota Belud bagi meninjau sendiri keadaan pusat berkenaan. – UMNO Online
Oleh: Jaafar Abd Wahid