UMNO Lahad Datu Semarak Perkukuh Parti, Yakini BN Untuk Bawa Kemajuan Di Sabah

LAHAD DATU, 1 Ogos – Kepimpinan UMNO Bahagian Lahad Datu bertekad untuk terus memperkukuh parti dalam hasrat memastikan Barisan Nasional (BN) kembali membawa pembaharuan dan kemajuan di Negeri Sabah.

Ketuanya, Sharif Musa Sharif Mabul memaklumkan bahawa menerusi pemukiman Retreat Kepimpinan dan Pemantapan Gerak Kerja UMNO Bahagian Lahad Datu baru-baru ini, kepimpinan empat peringkat parti terus bersemangat kepada pelaksanaan gerakan bagi mengembleng akar umbi dan rakyat keseluruhan.

“Insya-Allah, UMNO Bahagian Lahad Datu akan mengaplikasi segala perkongsian ilmu dan suntikan semangat untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelak.

“Pembangunan Negeri Sabah hari ini adalah acuan dan kejayaan UMNO/BN memerintah fasa pertama.

“Insya-Allah UMNO/BN Sabah akan masuk fasa kedua untuk membangunkan Negeri Sabah setelah mendapat mandat dari rakyat pada pilihan raya akan datang,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, para peserta retreat yang berkursusu selama tiga hari dua malam merupakan tulang belakang kepada UMNO Lahad Datu malah sentiasa meyakini keupayaan parti dan akan mengembalikan BN selaku pentadbir negeri.

“Kita telah melalui pelbagai cabaran dan melihat pelbagai parti mentadbir namun kita tetap yakin dengan keupayaan UMNO/BN mentadbir negeri dan negara ini.

“Sepanjang tempoh UMNO/BN memerintah negeri dan negara ini kita telah menyaksikan pelbagai perkara, menyelamatkan demokrasi dari rahang kediktatoran komunisme, menjadi bidan kepada pembentukan Malaysia, membawa pembangunan kepada kawasan luar bandar, melancarkan perang terhadap kemiskinan dan buta huruf.

“UMNO/BN juga yang merencana kejuruteraan sosial hingga merealitikan pembentukan kelas menengah yang besar, melaksanakan prakarsa pembaharuan tanah melalui Felda, melakukan pelaburan besar di dalam bidang pendidikan dan prasarana asas negara serta mengubah status Malaysia dari negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian berpendapatan tinggi.”

Dalam masa yang sama Sharif Musa turut merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada semua peserta termasuklah para panel serta tetamu jemputan.

“Terima kasih kepada perasmi pembukaan Datuk Yakub Khan dan juga kepada perasmi penutupan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

“UMNO Bahagian Lahad Datu juga mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli panel yang hadir memberi suntikan semangat dan berkongsi ilmu,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.