Sambutan Hari Pahlawan Negara Kenang Jasa Perajurit Pertahan Tanah Air – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Ketabahan serta keberanian pahlawan negara merupakan satu keringat dan bakti yang tidak ternilai dan Sambutan Hari Pahlawan Negara yang disambut saban tahun adalah tanda ingatan yang berterusan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata sumbangan mereka dalam mempertahankan tanah air amat besar jasanya dan wajar dijadikan iltizam kepada anak-anak muda.

“Alhamdulillah… semalam kita sama-sama mengakui dan memberi penghormatan terhadap keberanian dan ketabahan para pahlawan negara yang telah berkorban demi agama, bangsa dan tanah air.

“Jasa keringat mereka dalam mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta ini wajar dijadikan iltizam untuk anak-anak muda bagi mengekalkan apa yang sedang kita warisi saat ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata beliau lagi penghargaan yang tidak ternilai kepada mereka yang berjuang demi agama, bangsa dan tanah air merupakan satu pengiktirafan negara yang tidak ternilai sama sekali.

“Terima kasih perajurit negara atas jasa dan bakti yang telah dicurahkan.

“Marilah juga kita bersama-sama mendoakan mereka yang telah gugur di medan perjuangan, berjuang untuk tanah air ini. Al-Fatihah. Terima kasih wira-wira negara. Selamat menyambut Hari Pahlawan 2024,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.