Perkukuh Integriti, UMNO Tidak Boleh Ada ‘Gunting Dalam Lipatan’ – Suhaimi

SANDAKAN, 1 Ogos – Ahli UMNO khususnya di Bahagian Libaran diingatkan supaya terus memperkukuh integriti dan jangan jadi gunting dalam lipatan yang cenderung untuk mengkhianati parti.

Ketua UMNO Bahagian Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, parti bukan sahaja berhadapan serangan dari luar yang boleh dikenal pasti musuh namun perbuatan ahli parti seperti gunting dalam lipatan dan baling batu sembunyi tangan amat berbahaya kepada kekuatan parti.

”Jangan ada di kalangan kita mengamalkan budaya seperti ini, jadi gunting dalam lipatan, adu domba dan perjuangan kita dikaburi dengan kesenangan yang sekejap kerana ia tidak akan mampu memperkasakan kekuatan parti malah akan memberikan kesan negatif kepada UMNO,“ katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Libaran yang diadakan di Balairung Amanda Aisyadelia Cottege Batu 14, di sini, baru-baru ini.

Majlis perasmian mesyuarat tersebut telah disempurnakan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan turut dihadiri oleh Aminah Johan selaku wakil UMNO Sabah.

Menurut Suhaimi, parti ini mesti dihindarkan daripada ahli atau pemimpin gunting dalam lipatan dan duri dalam daging kerana itu sebelum ini UMNO Sabah telah mengambil tindakan drastik dengan memecat beberapa anggota parti yang menjadi duri dalam daging hingga menyebabkan sumbangan UMNO dalam pembentukan kerajaan telah dinafikan oleh Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS).

“UMNO Sabah dikaitkan dengan cubaan rampas kuasa dinamakan ‘Langkah Kinabalu’ walhal sebenarnya tidak pun berlaku.

“Bagaimanapun apabila ada di kalangan pemimpin UMNO yang mengamalkan budaya gunting dalam lipatan dan adu domba kepada Ketua Menteri yang termakan hasutan maka ketika itu akhirnya UMNO disingkirkan,” jelas Suhaimi.

Sehubungan itu menurut Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran, ahli UMNO perlu memiliki integriti dan berjuang atas nama prinsip yang penuh keikhlasan, bukan untuk kepentingan peribadi tetapi demi generasi akan datang dan untuk kemajuan serta kemakmuran rakyat Sabah.

“Akar umbi merupakan pejuang-pejuang yang akan memastikan UMNO dapat mempertahankan kerusi-kerusi BN/UMNO khususnya di bahagian Libaran pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang, oleh itu tanggungjawab ini perlu digalas bersama, bekerja dan bergerak dalam satu pasukan yang mantap dan kukuh bagi memastikan kemenangan BN/Umno pada PRN kali ini,” tegasnya.

Ujarnya pemimpin UMNO di peringkat bahagian dan cawangan haruslah sentiasa mendekati dan membantu rakyat untuk menang dalam PRN Sabah dengan strategi yang tepat.

“Kita perlu memberikan penerangan yang jelas mengenai isu-isu serta kegagalan yang dilakukan oleh kerajaan dalam mengatasi masalah kemiskinan dan penyediaan prasarana asas seperti air, jalan raya dan elektrik yang semakin membelenggu rakyat Sabah ketika ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abdul Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.