UMNO Bahagian Kota Belud Kemuka Usul Keadilan Buat Najib

KOTA BELUD, 31 Julai – Usul pembebasan dan keadilan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak antara yang dibawa pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Belud untuk diajukan ke peringkat yang lebih tinggi.

Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan Norjan berkata, UMNO bahagian itu malah masyarakat setempat masih merasai kesedihan ekoran ketiadaan bekas pemimpin yang telah menabur bakti kepada negara iaitu sebagai Perdana Menteri keenam dan juga mantan Presiden UMNO.

“Kita telah kehilangan seorang pemimpin yang suatu ketika dahulu banyak berjasa untuk negara. Justeru, UMNO khususnya di bahagian ini berharap atas prinsip keadilan, maka sama-samalah kita perjuangkan keadilan untuk Datuk Seri Najib,” katanya ketika berucap pada mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kota Belud di Dewan Kompleks Sukan Kampung Botung, dekat sini, Sabtu lepas.

Mesyuarat perwakilan tersebut telah dirasmikan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dan turut dihadiri oleh wakil UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Menurut Azuwan, UMNO Kota Belud mahukan pembelaan terhadap Najib dibuat kerana merasakan beliau tidak mendapat keadilan seawal proses perbicaraan lagi.

“Pemimpin UMNO sendiri telah berusaha ke arah itu dan diharapkan agar suara membela Najib tidak terhenti sebaliknya diteruskan sehingga beliau mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu Azuwan turut menyangkal dakwaan dan sentimen yang dimainkan oleh pemimpin parti-parti tempatan di negeri ini yang mengajak rakyat Sabah menolak parti dari Malaya khususnya UMNO dengan mendakwa telah merampas hak-hak rakyat Sabah.

“Saya nak tegaskan bahawa UMNO sudah bertapak di Sabah selama 33 tahun, jika benar UMNO merampas hak-hak rakyat Sabah atau dipimpin oleh orang Malaya maka saya harap mereka tampil dengan bukti sebagaimana yang mereka dakwa,” katanya.

Menurut Azuwan, sentimen yang cuba dimainkan oleh beberapa pemimpin ini sebenarnya amat bahaya kerana boleh menjejaskan tahap perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini.

Justeru, beliau meminta rakyat agar tidak termakan dengan hasutan tersebut.

“UMNO Sabah dipimpin oleh anak Sabah, tidak timbul isu ianya dikuasai oleh orang Malaya, ini hanya persepsi negatif yang dimainkan oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka. Lebih mengecewakan apabila pemimpin yang membawa sentimen ini telah pun menerima pelbagai kemudahan dan kesenangan dari UMNO sebelum ini,” jelas Azuwan.

Sementara itu, berucap merasmikan mesyuarat perwakilan tersebut Dr Asyraf Wajdi yang juga pengerusi MARA turut mengulas ucapan Azuwan mengenai sentimen parti Malaya yang dimainkan oleh pihak pihak tertentu di negeri ini.

Beliau berharap rakyat tidak terpengaruh dengan dakwaan segelintir pihak yang mengajak untuk hanya memilih parti tempatan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelak.

Menurut beliau melalui formula bersama parti-parti nasional mampu membawa perubahan kepada pembangunan di negeri ini kerana masih memerlukan bantuan dari kerajaan Pusat terutamanya dalam peruntukan untuk pembangunan.

“Parti nasional yang mereka label parti Malaya telah mengembalikan hak orang Sabah kepada orang Sabah. Kononnya mereka parti tempatan, parti pemerintah tapi apa yang mereka lakukan? Pembangunan jauh lebih baik ketika UMNO/BN menjadi kerajaan di negeri, sekarang mereka sekadar melaungkan tolak parti Malaya.”

Sehubungan itu menurut Dr Asyraf Wajdi, jika rakyat di negeri ini mahu membangun maka tidak ada pilihan formula terbaik dan sesuai untuk Sabah selain gabungan parti nasional dan parti tempatan. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.