Pilih Calon BN, Anak Muda Sedia Berkhidmat Untuk Rakyat Nenggiri – Azalina
GUA MUSANG, 30 Julai – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan UMNO bukannya mengambil calon ‘import’ atau pun ‘bidan terjun’ untuk menjadi calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Jelasnya, calon yang diketengahkan oleh UMNO/Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani adalah calon yang telah lama berjuang dan tahu selok-belok apa dimahukan rakyat Nenggiri.
“Ini bukanlah calon ‘import’ yang diambil dari mana-mana. Sekejap parti ini, sekejap parti itu. Ini bukannya calon ‘bidan terjun’ tapi calon yang telah lama berjuang, yang kenal dengan orang tempatan dan telah berkhidmat pada ADUN BN sebelum ini serta memberikan komitmen pada UMNO Bahagian Gua Musang.
“Janganlah kita ambil ‘bidan terjun’ hanya sebab nak tahu tapi tidak ada isi. Jangan buat sedemikian pada rakyat dan pengundi di DUN Nenggiri dan kena berlaku adil. Sebab elemen PRK ini adalah satu komitmen yang sangat-sangat serius dan tanggungjawab pada negara.
“Kita meletakkan calon BN yang memahami isu dan hati rakyat di kawasan sini dan juga datang dari parti yang telah lama berkhidmat. Itu sebab kelebihan UMNO/BN sangat serius apabila meletakkan calon pada pertandingan. Kita mahukan rakyat tahu bahawa calon ini adalah yang terbaik dan ada pada generasi muda. Ini adalah komitmen parti untuk anak muda,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Azalina yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi berharap pengundi-pengundi Nenggiri dapat teruskan komitmen dan beri sokongan padu serta mengundi calon BN.
“Saya harap pengundi di DUN Nenggiri akan meneruskan budaya memberikan sokongan pada BN kerana membawa pembangunan dan harap jentera Penerangan BN dapat membawa kejayaan di sini seterusnya bawa ke Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 sebagai tanda Parlimen Gua Musang kembali kepada BN.
“Kita tahu pengundi muda memainkan peranan yang penting kerana calon BN adalah seorang anak muda, mempunyai latar belakang politik dari platform Pemuda UMNO. Ini menunjukkan komitmen BN kepada orang parti yang telah lama berjuang.
“Ini adalah salah satu pendekatan UMNO/BN untuk memberikan galakan kepada generasi muda agar menawarkan diri dan beri khidmat bakti kepada pengundi dan juga bahagian,” katanya lagi.
Mengulas lanjut beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang meminta pengundi DUN Nenggiri agar memilih calon BN agar dapat beri khidmat terbaik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Saya meminta pengundi DUN Nenggiri agar bijak akal memilih calon yang terbaik supaya dapat berikan perkhidmatan sebagai ADUN yang sentiasa ada di sini dan kenal isu-isu tempatan.
“Interpretasi kemenangan di DUN Nenggiri adalah juga penerimaan rakyat kepada Kerajaan Madani dan dengan kemenangan ini akan banyak lagi program untuk membantu masyarakat di sini.
“Kerajaan Pusat sememangnya beri respon yang positif terhadap kehendak dan perkhidmatan pada masyarakat Nenggiri,” ujarnya lagi.
Terdahulu beliau telah mengadakan pertemuan dengan jentera Penerangan UMNO empat peringkat di sini, hari ini. – UMNO Online