UMNO Jempol Usul Lima Perkara Demi Perkasa Parti, Manifestasi Agenda Perjuangan – Mohd Zaidy

JEMPOL, 29 Julai – UMNO Bahagian Jempol menggariskan lima perkara yang merupakan suara akar umbi untuk diangkat menjadi perhatian kepimpinan UMNO di peringkat negeri dan Persekutuan demi terus memperkasakan parti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, kehadiran perwakilan UMNO dalam menjayakan mesyuarat parti adalah satu manifestasi yang boleh diterjemah sebagai petanda bahawa UMNO terus disayangi rakyat khususnya orang Melayu dalam meneruskan agenda perjuangan agama dan bangsa di negara ini.

“Muka-muka inilah merupakan ahli-ahli akar umbi yang kekal setia bersama parti walau dalam keadaan apa sekali pun. Sememangnya, anda semua ini merupakan perjuang sebenar parti ini,” katanya yang membentangkan cadangan usul peringkat UMNO Bahagian Jempol sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian terbabit pada Ahad.

Untuk cadangan usul kali ini, Mohd Zaidy memaklumkan bahawa lima perkara terbabit ialah kesetiaan kepada parti, perjuangan terhadap agenda Islam dan Melayu, pendidikan, ekonomi dan hal ehwal antarabangsa.

“UMNO Bahagian Jempol menyeru kepada setiap ahli parti mengenai betapa pentingnya kesetiaan kita kepada parti UMNO yang telah sekian lama berbakti kepada bukan sahaja orang Melayu tetapi rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

“Sebenarnya, usul kesetiaan kepada parti ini lebih dituju kepada pemimpin-pemimpin tidak kira di peringkat cawangan, bahagian, negeri mahupun Pusat. Kadang-kadang yang kita tengok, pemimpin yang banyak tak setia, tetapi ahli parti di akar umbi masih kekal utuh dan setia bersama parti dalam apa jua keadaan.

“Kesetiaan kepada parti adalah kunci untuk memastikan kita terus relevan dan kuat dalam menghadapi cabaran politik semasa. Kita tidak boleh melupakan akar perjuangan kita dan harus sentiasa setia kepada matlamat asal parti untuk membela agama, bangsa, dan negara.”

Berkaitan usul kedua, katanya UMNO perlu terus konsisten dalam perjuangan terhadap Islam kerana ia adalah agama Persekutuan.

“Jadi, adalah menjadi tanggungjawab setiap warganegara menjaga kesucian agama ini di negara ini. Sebagai ahli UMNO, kita harus memastikan bahawa agenda Islam dan Melayu sentiasa dipertahankan malah diperluaskan lagi.

“Hari ini, kita berdepan dengan pelbagai ancaman, terutamanya dari sosial media yang sering kali menjadi medium untuk menyebarkan fitnah dan salah faham mengenai agama kita.

“Media sosial sering kali digunakan untuk menyebarkan dakyah dan propaganda yang boleh merosakkan perpaduan dan kesucian Islam di Malaysia. Contohnya, isu-isu yang melibatkan penghinaan terhadap agama Islam yang sering kali muncul di platform-platform sosial media.”

Ujar Zaidy, dalam aspek ketiga iaitu pendidikan, UMNO perlu fokus kepada beberapa perkara penting iaitu memperkukuhkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), memperbanyakkan biasiswa untuk anak-anak muda agar mereka dapat melanjutkan pelajaran tanpa halangan kewangan.

“Keempat adalah mengenai ekonomi. Umum telah ketahui bahawa ekonomi kita telah mengecapi pelbagai kejayaan yang membanggakan beberapa tahun kebelakangan ini. Kejayaan ini adalah hasil daripada dasar ekonomi yang mantap selain daripada gabungan Kerajaan Perpaduan yang membuatkan pelabur antarabangsa yakin dengan negara kita.

“Perkara kelima yang dicadangkan adalah mengenai hal ehwal antarabangsa. Kita teguh berdiri menyokong perjuangan rakyat Palestin. Kita menentang tindakan genosid iaitu pembunuhan berama-ramai rakyat Gaza.”

Dalam masa yang sama, beliau mengajak semua perwakilan untuk terus bersama-sama berjuang demi agama, bangsa dan negara.

“Pepatah peribahasa Melayu sentiasa ingatkan kita bahawa Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Dengan semangat kesatuan, perjuangan dan kesetiaan, kita akan dapat menghadapi setiap cabaran yang mendatang dan memastikan masa depan yang cerah untuk generasi akan datang. Insya-Allah.

“Ingatlah, perjuangan kita belum selesai dan masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan Malaysia terus maju dan berjaya,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.