Jangan Kita Dibuai Nostalgia…Terus Bergerak Demi Perjuangan – Khaled

PONTIAN, 29 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap ahli dan seluruh pimpinan perlu bergerak sebaiknya dan tidak dibuai nostalgia yang lalu agar parti terus mendapat kepercayaan rakyat.

Ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pontian, beliau seterusnya berkata senario sebelum ini tidak akan sama pada masa akan datang sebaliknya sudah pasti akan lebih getir.

“Walaupun mungkin kita dalam keadaan berjaya di Parlimen Pontian dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas, tetapi itu bukan bermakna kita perlu rasa selesa. Banyak yang perlu kita buat. Lebih-lebih lagi, apa maknanya kita menang kawasan kita kalau di tempat lain kita tidak berjaya dan kita tidak menang.

“Sekurang-kurangnya, apa yang kita usahakan di Pontian ini, cara kerja kita, perpaduan kita, kerjasama kita, kesepaduan kita, ianya sudah tentulah boleh menjadi lonjakan, contoh terhadap kepada bahagian-bahagian yang lain,” katanya.

Majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pontian yang diadakan di Dewan Jubli Intan, dekat sini malam tadi turut dihadiri ketua dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Mohd Sumali Reduan.

Khaled seterusnya mengingatkan bahawa perjuangan UMNO adalah sebuah perjuangan  kebangsaan yang mana hasilnya dapat dilihat dalam pelbagai aspek.

“Apabila kita bercakap mengenai UMNO, saya percaya UMNO ini bukannya satu-satunya parti yang perlu wujud di Pontian… bukan satu-satunya parti yang perlu hanya wujud di negeri Johor tetapi kita jangan lupa, perjuangan UMNO adalah perjuangan kebangsaan.

“Perjuangan kebangsaan yang mana kita tahu bulan depan, tak berapa lama lagi kita akan menyambut kemerdekaan. Kerana perjuangan kebangsaanlah kita dapat menghalau penjajah. Kerana perjuangan kebangsaanlah kita merdeka. Kerana perjuangan kebangsaanlah wujudnya perlembagaan dalam negara.

“Kerana perjuangan kebangsaanlah kita menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa seluruh negara. Agama Islam dan budaya Melayu juga adalah perjuangan kebangsaan. Kita jangan lupa, kita bukan hanya berjuang untuk kawasan kita atau negeri kita dan sebagainya.

”Dengan perjuangan kebangsaanlah kita menyatupadukan seluruh orang-orang Melayu terutamanya dalam negara kita. Atas sebab itulah perjuangan kebangsaan yang bermula di Johor maka wajar kita jaga sebaiknya,” ujar beliau lagi. – UMNO Online 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.