Asas Perjuangan UMNO Perlu Kekal Dalam Setiap Diri Ahli Parti – Onn Hafiz
SIMPANG RENGGAM, 28 Julai – Asas perjuangan UMNO perlu terus kekal dalam setiap diri ahli serta pimpinan parti agar amanah yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksanakan sebaiknya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi berkata asas perjuangan parti membela agama, bangsa dan tanah air tanpa meminggirkan mana-mana kaum di negara ini adalah perjuangan yang sekian lama diwariskan oleh pimpinan terdahulu.
Menurut beliau apa jua jawatan hari ini adalah satu amanah yang merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebaiknya demi kepentingan rakyat.
“Kalau kita tak menjawab dengan rakyat, suka tak suka satu hari nanti, kita akan berdepan dengan Allah SWT di Padang Mahsyar nanti. Kita akan dituntut sama ada kita benar-benar melaksanakan tanggungjawab kita sebagai pemimpin dan memikul amanah dengan setulus hati.
“Jadi, tuan-tuan, puan-puan, sebab itu saya mohon jangan kita lari daripada asas perjuangan. Saya sekali lagi beri nostalgia pada malam UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah dengan begitu hebatnya pada tahun 2018. Ada seorang individu, dia peluk saya. Dia kata… jangan risau. InsyaAllah UMNO akan kembali. Dia bagi saya dua nasihat.
“Pertama, dia kata dengan saya, Datuk dah jadi wakil rakyat jangan angkuh, jangan sombong, ini semua amanah, pergi mana-mana, bawa pen. Pen ini digunakan untuk kita mencatat segala isu-isu yang digunakan untuk rakyat, untuk kita selesaikan. Dan nasihat kedua, dia kata, UMNO perlu kembali kepada asas perjuangan kita dan saya pegang kata-kata itu sampai hari ini.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Simpang Renggam, di sini, hari ini. Turut serta Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Hasni Mohamad serta pimpinan setempat yang lain.
Onn Hafiz yang juga Ketua UMNO bahagian Simpang Renggam seterusnya menambah perjuangan parti dalam konteks agama, bangsa dan tanah air adalah perjuangan yang hakiki.
“Saya perlu ingatkan diri saya… saya perlu ingatkan kepimpinan yang berada di atas pentas ini, kepimpinan yang berada di bawah. Apa tujuan kita berjuang? Apa tujuan kita berkhidmat? Terutamanya kepada perwakilan-perwakilan yang berada di bumi Johor.
“UMNO dilahirkan di Johor. UMNO dilahirkan di Istana Johor pada tahun 1946 dan tujuan ia ditubuhkan pada masa ketika itu adalah untuk menyatukan orang-orang Melayu di negeri Johor ini. Bukan saja untuk menyatukan orang-orang Melayu di Johor, tetapi di seluruh negara.
“Kita berdepan dengan satu kuasa besar. Kita berdepan dengan perjanjian British pada masa ketika itu. Ingat, tuan-tuan itu sejarah perjuangan kita, suka tak suka dan kalau kita tengok Perlembagaan UMNO itu sendiri, jelas termaktub bahawa kita ditubuhkan untuk terus berjuang membela agama, bangsa dan tanah air tanpa meninggalkan mana-mana kaum yang lain. Sebab itu tertubuhnya konsep Barisan Nasional (BN),” ujarnya lagi. – UMNO Online