UMNO/BN Sabah Akan Kembali Dominan, Pemimpin Dan Ahli Perlu Ikhlas Dalam Perjuangan – Bung Moktar

KUDAT, 28 Julai – Akar umbi UMNO perlu menggalas pelaksanaan dasar parti sekiranya mahukan kembali dominan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kelak.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, asas perjuangan parti seharusnya diterapkan dalam diri setiap ahli dan akar umbi agar ia sentiasa menjadi pegangan.

Menurut beliau untuk kembali dominan dalam mencipta kejayaan cemerlang pada PRN-17 akan datang, kekuatan parti tidak hanya bergantung semata-mata kepada semangat tanpa usaha atau tanpa pendekatan dan strategi yang berkesan untuk memenangi hati pengundi.

“Untuk UMNO kembali menjadi dominan dan mencipta kejayaan dalam PRN akan datang, tugas serta tanggungjawab ini bukannya tanggungjawab Ketua Bahagian serta barisan kepimpinanya, namun akar umbi parti perlu juga bergerak dan bekerja dalam satu pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kudat di Dewan Masyarakat Tun Mustapah dekat sini pada Khamis.

Hadir sama Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin; Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hasan dan Datuk Yakub Khan serta Ketua UMNO Bahagian Kudat, Datuk Harun Durabi.

Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, sebagai sebuah parti yang memiliki sistem organisasi tersusun, tidak sukar bagi pemimpin dan ahli UMNO melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka untuk memperkukuhkan parti.

“Penyatuan di kalangan pimpinan dan akar umbi UMNO adalah penting agar pengukuhan dapat diwujudkan,” katanya.

Tambah Bung apabila pemimpin dan ahli parti melaksanakan tugas dan faham erti perjuangan, penyatuan, pengukuhan dan pelaksanaan maka sudah pasti perpaduan akan wujud yang menjadi asas utama UMNO kembali sebagai parti dominan pada PRN-17 seterusnya menerajui pemerintahan negeri.

“Keutamaan UMNO ketika ini adalah menyusun jentera serta memperkukuh penyatuan dalam kalangan ahli di semua peringkat termasuk akar umbi supaya kekuatan UMNO berjaya dibina semula,” katanya.

Bung berkata ketika ini UMNO Sabah mungkin seperti ‘melukut di tepi gantang’ iaitu agak terpinggir tetapi, ini bukan penghujung usia politik UMNO kerana menurutnya UMNO Sabah sedang diuji yang memerlukankan daya tahan pemimpin dan ahli untuk terus berjuang mengembalikan kegemilangan.

“Saya yakin UMNO/Barisan Nasional (BN) akan menjadi dominan semula dan ia perlu disusuli dengan keikhlasan dalam perjuangan serta bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapainya.

“Amat penting bagi kita semua untuk tidak meninggalkan asas perjuangan parti kita. Kenapa UMNO ditubuhkan? Asas perjuangan parti ini kita terapkan dalam diri kita. Kalau kita faham asas perjuangan parti, tidak mungkin kita meninggalkannya,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.