Raih Semula Sokongan: Pemimpin, Akar Umbi Perlu Bijak Memainkan Peranan

JOHOR BAHRU, 27 Julai – Para pemimpin dan akar umbi perlu memainkan peranan serta menjalankan tugas dengan bijak untuk mendapatkan semula sokongan rakyat kepada UMNO/Barisan Nasional (BN).

Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, beliau telah dibantu oleh seluruh kepimpinan bahagian tersebut untuk menjayakan agenda parti terutamanya dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Saya nak beritahu bahawa saya dibantu oleh seluruh kepimpinan bahagian untuk menjayakan agenda UMNO Bahagian Tebrau dan perkara ini harus kita teruskan. Begitu juga sebagai Presiden UMNO, beliau tetap pertahankan UMNO kerana ini adalah wadah perjuangan orang Melayu. Tiada lagi parti boleh membela orang Melayu seperti kita.

“Hari ini ternyata beliau telah membawa UMNO/BN kepada satu kejayaan walaupun pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kita hanya dapat 30 kerusi. Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu, kita ingat keputusannya iaitu ‘no Anwar, Dap dan PPBM’ kerana persepsi serta doktrin melemahkan UMNO itu sebenarnya bermula daripada institusi Presiden.

“UMNO Bahagian Tebrau mempertahankan institusi ini. Apabila kita lemah pada tahun 2018, beliau diserang dengan dikenakan sebanyak 87 pertuduhan. Kita berbelah bahagi kerana dilihat lemah. Kita terikut dengan budaya pembangkang untuk lemahkan pihak lawan yang akhirnya menjurus kepada perpecahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Tebrau, semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor berkata, perpecahan yang tercipta telah menjurus kepada wujudnya ‘musuh dalam selimut’ dalam parti.

“Dalam UMNO juga memperlihatkan perkara sama dan ia menjurus kepada ‘musuh dalam selimut’. Dahulu, kita mempertikaikan para pimpinan lama seolah-olah mereka liabiliti dalam UMNO. Selepas proses pemutihan, kita menyalahkan Presiden. Namun, sebagai ahli UMNO, UMNO Tebrau tetap berdiri teguh di belakang Presiden kita.

“Kita bersama-sama dalam Kerajaan Perpaduan. Banyak yang masih lagi tertanya-tanya mengapa kita bersama dengan Pakatan Harapan (PH) dan Dap? Kita dapat merasakan bahawa Dap adalah sebuah parti cauvinis. Namun di atas kebijaksanaan pemimpin parti, kita dapat bentuk Kerajaan Perpaduan dengan enam menteri dan timbalan menteri. Mana mungkin dengan 30 kerusi kita mampu jadi kerajaan?

“Kerana pengorbanan yang dilakukan oleh Presiden kita dan didukung 191 bahagian, menjadi bukti bahawa kita masih relevan. Jadi, kita kena bijak jalankan tugas untuk ambil hati para pengundi. Kepada rakan-rakan kepimpinan, yakinlah perjuangan ini akan berterusan dan tidak akan luntur sampai bila-bila,” katanya lagi.

Terdahulu, Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah hadir bagi merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Tebrau, malam tadi.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ketua UMNO Bahagian Kulai, Datuk Jafni Md Shukor, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Manndzri Nasib, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Johor, Rina Farhana Abdullah dan seluruh barisan kepimpinan empat peringkat UMNO Bahagian Tebrau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.