Fakta Sebenar BN-PH… Segala Tohmahan Termasuk ‘Umdap’ Tidak Berfakta – Ahmad Maslan
PENGERANG, 26 JULAI – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata segala tohmahan pihak lawan keberadaan UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan hari ini termasuklah tohmahan ‘umdap’ dan sebagainya bukan sahaja tidak berfakta malah amat jauh sama sekali hakikat sebenar.
Tegas beliau senario hari ini adalah kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) serta parti-parti lain daripada Sarawak serta Sabah.
“Kita bukan UMNO dan Dap, kita ialah BN dan PH… setuju atau tidak? Bukan UMNO dan Dap… BN dan PH itu fakta yang sebenar. Kerajaan tergantung beberapa hari selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu dan akhirnya UMNO serta BN bersetuju untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan bersama PH.
“UMNO dan BN menjunjung Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar negara kita boleh diteruskan pemerintahan dan rakyat serta negara tidak terjejas.
“Kita bersama dengan PH… 82 campur 30 menjadikan 112 kerusi Parlimen dan ini adalah sejarah yang tak boleh dipadam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pengerang, di sini hari ini. Turut serta Ketua UMNO Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said.
Ahmad Maslan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor seterusnya menegaskan dalam usaha menyelamatkan negara ini parti berkenaan sedia menjunjung titah dan seterusnya berkhidmat untuk negara dan seluruh rakyat.
“UMNO dan BN menyelamatkan keadaan… UMNO menjunjung titah dan begitu juga parti-parti yang lain kecuali Bersatu dan juga Pas… betul kan?
“Kalau mereka menjunjung titah, kita ni dah tak bergaduh dan tidak ada PRK (Pilihan Raya Kecil) Nenggiri sebab semuanya ada… sedikit menteri UMNO, ada sedikit menteri Pas, ada sedikit menteri daripada Amanah, Bersatu, PKR termasuklah daripada Sarawak dan Sabah kita sama-sama memerintah. Aman damai politik ini dan yang mengkucar-kacirkan ialah mereka dua parti berkenaan,” ujarnya. – UMNO Online