Pimpinan Dan Ahli UMNO Perlu Tangkis Persepsi, Jelaskan Keadaan Sebenar – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK, 28 Julai – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru pimpinan parti dan akar umbi agar sama-sama membetulkan, menangani serta memberikan penjelasan berkaitan persepsi-persepsi yang negatif.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan selama ini persepsi negatif telah dibalingkan pada UMNO dan Barisan Nasional (BN) maka kini persepsi harus ditangani oleh kerajaan yang ada.

“Saya menyeru pemimpin-pemimpin dan ahli UMNO harus sama-sama menangani, menyantuni serta membetulkan persepsi negatif dengan memberikan penjelasan, menukarkan kepada perkara-perkara yang benar dan juga membalas persepsi-persepsi yang negatif.

“Jika kita tidak menangani persepsi ini dan menjelaskan apatah lagi untuk menangkis maka persepsi itu akan dekat di minda netizen. Untuk itu kita belajar dari pengalaman Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 bahawa persepsi sengaja dibalingkan sebagai satu propaganda bukan hanya untuk menjatuhkan seseorang atau ahli politik tetapi untuk parti yang dipimpinnya dan inilah yang berlaku pada UMNO/BN.

“Persepsi itu masih belum habis sehingga sekarang selepas UMNO/BN tidak dapat membentuk kerajaan dan kini biarpun UMNO/BN berada dalam kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut kata Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk itu, yang banyak beri gambaran negatif itu akan dapat menguasai minda.

“Oleh demikian menangani persepsi ini bukan saja UMNO/BN tetapi pimpinan-pimpinan dan ahli parti komponen di dalam Kerajaan Perpaduan mesti bersama-sama membetulkan persepsi yang negatif ini supaya menjadi positif.

“Saya fikir pihak seteru politik akan terus membalingkan pelbagai persepsi yang negatif, menanam kebencian dan prasangka buruk. Namun tugas pemimpin dan ahli-ahli parti dalam Kerajaan untuk memperbetulkannya. Acuan mentaliti harus diubah dan jangan harap orang lain mengubahnya,” katanya lagi.

Pada masa yang sama kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), sekarang ini media sosial adalah sebagai sebahagian dari kehidupan manusia dan mesti bijak serta efektif menggunakannya bagi memperjelaskan keadaan dan membalas fitnah.

“Kita tidak seharusnya memviralkan apabila ada kawan-kawan yang seronok kena buli dan fitnah yang berlaku.

“Pemegang-pemegang akaun itu harus sedar bahawa di sebalik menggunakan nama samaran untuk melindungi diri mereka dan melakukan sesuatu itu dengan tidak berniat baik.

“Ini bermakna orang itu tidak berani menunjukkan identiti maka tugas dan tanggungjawab ahli parti dan pimpinan untuk memperbetulkan persepsi negatif,” tegasnya lagi

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk 2024 di sini pada Ahad.. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.