Bung Moktar Gesa Rakyat Sabah Tolak Sentimen Anti Parti Malaya

SANDAKAN, 25 Julai – Rakyat di negeri ini diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan diayah parti-parti lawan kononnya memperjuangkan nasib rakyat Sabah.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata tindak-tanduk sebahagian mereka selesa menggunakan sentimen ‘anti-Malaya’ hanya mencerminkan pemikiran ekstrem dan tidak menguntungkan perjuangan rakyat di negeri ini yang masih dibelenggu masalah kemunduran dari segi pembangunan, infrastruktur asas dan kemiskinan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, tindakan gabungan parti-parti tempatan ini yang dilihat terlalu ghairah ‘membuai’ angan-angan rakyat tidak mencerminkan aspirasi masyarakat Sabah sebenar malah ia lebih kepada kepentingan survival politik mereka dan bukannya untuk membebaskan rakyat dari belenggu kemunduran serta kemiskinan.

“Jika kita melihat kepada sejarah poliitik Sabah masa lampau, negeri ini pernah diperintah oleh parti tempatan dari zaman USNO, Berjaya sehinggalah ke parti PBS (semuanya parti tempatan) namun kita dapat mengukur sejauh mana parti tempatan ini dapat memainkan peranan bagi membawa perubahan sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat Sabah yang masa itu berada dalam kemunduran,” katanya.

Menurut beliau, kegagalan ini berlaku disebabkan para pemimpinnya lebih mengutamakan kepentingan politik peribadi dan bukannya kepentingan rakyat yang memerlukan pembelaan dari sudut keperluan pembangunan.

“Mereka perlu menerima hakikat bahawa BN yang pernah memerintah Sabah lebih hampir 18 tahun membawa banyak perubahan terutamanya dalam penyediaan infrastruktur asas jalan raya (Projek Lebuhraya Pan Borneo) sekolah, hospital dan semuanya adalah atas usaha kerajaan BN,” katanya.

Bung yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan turut membidas pihak yang seringkali memainkan sentimen mendakwa UMNO parti dari Semenanjung dan mendakwa cuba merebut hak-hak rakyat Sabah.

“Ini adalah satu tanggapan yang terlalu prejudis dan boleh merencatkan konsep Kerajaan Perpaduan.”

Tegasnya, UMNO yang sudah 33 tahun bertapak di Sabah dipimpin oleh rakyat tempatan termasuk beliau yang juga penduduk asal negeri ini.

“Sebenarnya orang yang bercakap ini mulut celupar maka jangan kita terlena dengan hasutan dan juga kebencian daripada musuh-musuh kita itu. Di Sabah ini kita dalam UMNO cuba berbaik dengan semua orang dan juga dengan semua parti,” katanya.

Menurut beliau permainan politik sedemikian adalah keterlaluan iaitu menimbulkan isu perkauman yang boleh menjejaskan perpaduan di negara ini.

“Rakyat di negeri ini perlu belajar dari sejarah masa lalu apabila ada kaum ditekan sehingga beberapa pemimpin Sabah (termasuk yang berada dalam GRS ketika ini) meminta UMNO untuk mengembangkan sayapnya ke Sabah demi mewujudkan kestabilan politik agar tidak ada mengabaikan rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum,” katanya.

Dalam pada itu, Bung Moktar berkata, sudah tiba masanya untuk jentera di negeri ini memperkukuhkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Kita perlu mengambil iktibar, tidak boleh berlengah lagi, kita tidak boleh lagi jadi melukut di tepi gantang. Kita tidak boleh lagi menjadi parti yang asal ada, asal dapat jadi kerajaan atau apa-apa saja kerana kita perlu ada fokus kepada matlamat demi kestabilan masa hadapan,” tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Himpunan dan Konvensyen BN Sabah sempena sambutan Jubli Emas BN ke-50 di Dewan Masyarakat SMJK Tiong Hua Sandakan dekat sini Ahad lepas.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Naib-naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.