Kejayaan Himpunan BN Sabah Ubat Kerinduan Rakyat, Dambakan Pembangunan Holistik – Sharif Musa

LAHAD DATU, 24 Julai – Kejayaan Konvensyen dan Himpunan Barisan Nasional (BN) yang dilaksanakan di Sandakan Ahad lalu membuktikan bahawa gelombang biru sentiasa dirindui.

Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul berkata walau pelbagai cara menidakkan Himpunan Gelombang Biru (BN) baru-baru ini, hakikatnya rakyat bertahan hingga ke petang untuk melepaskan kerinduan bersama-sama kepimpinan BN.

“BN Sabah telah menempuh onak dan cabaran, menongkah badai dan merentas perjalanan masa demi rakyat Sabah yang tercinta.

“Tiada boleh dinafikan di bawah Kerajaan BN sewaktu memerintah Sabah bahawa perpaduan dimeterai, pembangunan dimanfaat, permodenan dirasai, modal insan diangkat sehingga anak-anak Sabah hari ini berjaya bergelar saintis, ahli akademik dan pelopor teknologi dan ramai ahli profesional yang dilahirkan.

“Inilah politik khidmat bakti kerajaan BN selama memerintah Sabah. Rakyat amat merindui, sekiranya tempat perhimpunan baru-baru ini boleh menampung seratus ribu orang, sudah pasti rakyat Sabah akan hadir untuk memenuhi ruang yang kosong,” katanya kepada UMNO Online.

Ujar beliau yang turut serta dalam konvensyen dan himpunan BN tersebut, kesesakan yang dirasai sewaktu program ini memberi makna yang cukup besar.

“Alhamdulillah, gelombang biru melanda Bandar Sandakan, dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, seramai 15 ribu yang hadir menunjukkan kebangkitan rakyat Sabah yang mahukan perubahan secara holistik.

“Rakyat amat merindui zaman memerintahan BN, sebuah parti nasional yang cukup terbukti membangunkan negeri Sabah dari pelbagai aspek,” katanya lagi.

Konvensyen BN Sabah 2024 telah diadakan di Dewan SMJK Tiong Hua, Sandakan, Ahad yang bermula sejak awal pagi dan berlangsung dengan jayanya dengan kehadiran 15 ribu akar umbi dan penyokong parti.

Ia menyaksikan pelbagai pengisian melalui diskusi dan pencerahan yang diberikan oleh panel-panel terdiri daripada pemimpin BN di peringkat Pusat dan negeri.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri turut hadir bagi ucapan penutup.

Beliau dalam ucapannya memberikan kepercayaan bahawa hanya anak Sabah sahaja boleh mentadbir negeri ini dengan sebaiknya sambil berkata tiada campur tangan daripada kepimpinan dari semenanjung. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.