Isu Sumbangan Sekolah: Dr Akmal Gesa Kerajaan Pertahan Polisi Sedia Ada
KUALA LUMPUR, 24 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa kerajaan untuk mempertahankan segala polisi sedia ada meskipun ada pihak yang cuba untuk mengubahnya.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menyokong tindakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang tidak membenarkan sumbangan dari syarikat tidak sepatutnya kepada pihak sekolah.
“Sokongan sepenuhnya kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk mempertahankan polisi agar tidak dibenarkan sumbangan dari syarikat arak, rokok dan judi diberikan kepada pihak sekolah.
“Jika liga bola sepak negara pun tidak dibenarkan syarikat sebegini untuk menyumbang, apa lagi untuk sekolah di dalam negara ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berharap agar usaha kerajaan tersebut dapat mampu membebaskan anak-anak di sekolah dengan anasir tidak baik.
“Saya mohon agar pihak kerajaan untuk mempertahankan polisi yang sedia ada ini walaupun diasak oleh mana-mana menteri untuk mengubahnya.
“Ini negara yang ada peraturan yang perlu dipatuh,bukan negara yang mengikut aturan mana-mana pihak atau menteri.
“Pemuda UMNO menyokong penuh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengenai isu ini. Bebaskan anak-anak kita dari anasir yang tidak baik,” katanya.
Pada Selasa media melaporkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menolak pengecualian untuk pematuhan garis panduan yang melarang sekolah menerima dana yang dijana daripada penjualan produk tembakau dan minuman beralkohol.
Beliau berkata, walaupun semua sumbangan dialu-alukan, namun ia mesti mengikut garis panduan kementerian. – UMNO Online