UMNO Telah Berubah, Buka Banyak Peluang Kepada Orang Muda – Dr Akmal

SHAH ALAM, 23 Julai – UMNO dilihat telah melakukan perubahan dengan membuka lebih banyak peluang kepada orang muda untuk menerajui parti selepas mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, agenda yang dibawa oleh para pemimpin dan akar umbi pada hari ini adalah untuk memperkukuhkan UMNO.

“Kita sebagai pemimpin ini kena berjiwa besar. Pemimpin ini ada satu agenda. Agenda kita hari ini adalah untuk memperkukuhkan parti kita. Sebab parti kita sudah tidak kuat. Parti kita kalah. UMNO ini tinggal 26 kerusi sahaja. Di Selangor, UMNO ada dua kerusi sahaja.

“Saya ingin membuktikan bahawa dalam UMNO ini kita boleh berselisih pendapat tetapi pada akhirnya perjuangan tetap diteruskan. Semasa pemilihan tempoh hari, kita ‘bergaduh’ dalam suasana keluarga. Kita boleh berbeza pendapat tetapi matlamatnya tetap sama, bahawa UMNO ini perlu diperkuatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Subang, pada Sabtu.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata, akar umbi sudah semestinya mendambakan perubahan berlaku setelah parti mengalami kekalahan sehinggakan ramai yang melarikan diri dari landas perjuangan.

“Sebab itu saya kata UMNO ini parti keramat. Kita kalah pada PRU ke-14, ketika itu apa yang PPBM cakap kepada kita? UMNO dah mati dan terkubur. Berapa ramai yang lari dari parti kita? Tetapi pada hari ini, saya suka sebenarnya apabila kita kalah sebab baru kita tahu mana permata dan kaca.

“Di kala ramai yang mengatakan bahawa orang muda tidak mahu masuk UMNO kerana parti orang tua, tetapi bagusnya UMNO kalah pada ketika itu, hari ini ramai orang muda diberi ruang dan peluang.

“Ramai orang UMNO di bawah ini mahukan perubahan. Hari ini orang tahu dah bahawa parti kita ini perlu berubah. Kalau kita takut nak bercakap maka selama-lamanya UMNO tidak boleh berubah,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyarankan para pemimpin dan akar umbi agar tidak takut untuk membawa suara rakyat menerusi platform yang bersesuaian.

“UMNO ini parti perjuangan untuk Melayu dan bumiputera. Ini parti kita. Jadi jangan takut bawa suara rakyat walaupun terpaksa menongkah arus. Kalau kita nak berubah, nak menang, kena buat mentaliti nak menang. Inilah platform yang paling sesuai sekali untuk kita bercakap dan bawa perubahan.

“Mereka (rakyat) masih ada rasa sayang kepada UMNO. Tetapi mereka yang tidak berparti ini tidak percaya kepada kita. Jadi, tugas kita sebagai pemimpin di atas dan juga di bawah… kita kena kembalikan semula kepercayaan mereka ini kepada UMNO. Kembalikan UMNO ini di setiap hati orang Melayu.

“Jadi, macam mana nak kembalikan semula? Bawalah suara mereka dengan tanpa rasa takut,” katanya lagi.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Arman Azha Abu Hanifah, Ketua Wanita UMNO Bahagian Subang, Seripah Noli Syed Hussin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Subang, Hanis Hazwani dan seluruh kepimpinan bahagian empat peringkat. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.