Santuni Rakyat, Jeffery Nor Realitikan Kesinambungan Khidmat Bakti UMNO Tanpa Henti
BATU SAPI, 23 Julai – UMNO merealitikan ungkapan sentiasa bersama rakyat apabila meneruskan khidmat bakti dengan menyantuni mereka yang dilanda musibah selain kunjungan ziarah kasih kepada masyarakat.
Pengarah Jentera Pilihan Raya Negeri Sabah, Jeffery Nor Mohamed yang juga Pengerusi FELCRA Balingian Plantation Sdn Bhd telah turun padang ke tapak sementara tadika Kafa di Kampung Gas, di sini bagi menyampaikan sumbangan kepada mereka.
Katanya, beliau amat terharu melihat keadaan anak-anak yang bersemangat menuntut ilmu walaupun dalam keadaan serba kekurangan lantaran pelbagai kemudahan tidak ada.
“Saya amat sedih dan terharu melihat anak-anak belajar dalam keadaan yang agak daif dan kepanasan. Semoga ada usaha-usaha tertentu yang akan dibuat bagi membantu anak-anak ini,” katanya.
Kunjungan beliau ini turut disertai Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Zantapha Zainal Abidin dan juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Batu Sapi, Hazulizah Mohd Dani bersama jawatankuasa bahagian terbabit.
Seusai itu, kunjungan juga dibuat kepada mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Cenderamata, di sini.
“Alhamdulillah tertunai hasrat untuk dapatkan sumbangan bagi membantu mangsa-mangsa kebakaran ini. Dengan bantuan dan sedikit sumbangan kewangan, semoga ia dapat dimanfaat bagi mengurangkan bebanan selepas dilanda musibah,” katanya lagi yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan. – UMNO Online