‘Anak Bossku Jumpa PN’: Pertemuan Dongeng Itu Tidak Pernah Berlaku – Nizar

KUANTAN, 23 Julai – Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib menafikan sekeras-kerasnya desas-desus yang menyatakan beliau telah berjumpa dengan pemimpin-pemimpin pembangkang untuk jatuhkan kerajaan negeri.

Tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya itu, pertemuan dongeng tersebut tidak pernah berlaku sama sekali.

“Ayahanda Dato’ Sri Najib selalu berpesan walau bagaimana susah pun keadaan kita agar setia kepada parti. Mana mungkin saya akan berkomplot untuk mengkhianati parti yang keluarga saya perjuangkan bersama-sama orang UMNO yang lain sejak ia ditubuhkan.

“Mana mungkin saya akan membelot untuk khianati Kerajaan Negeri Pahang yang diterajui oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, seorang pemimpin yang saya amat kasihi dan hormati.

“Beliau juga telah banyak membantu pengundi saya di kawasan Peramu Jaya Pekan. Seorang pemimpin yang baik hati dan mudah didekati. Mana mungkin saya seorang Exco Kerajaan Negeri Pahang dan ADUN kerajaan negeri tergamak untuk mengkhianati beliau sebagai seorang pemimpin dan kepercayaan yang beliau berikan,” kata Nizar dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nizar memberi respon berhubung tular satu satu status di media sosial yang berbunyi: “Pahang sedang goyang! New State Government akan naik. Anak Bossku sudah jumpa PN.”

Justeru Nizar dengan tegas mengatakan beliau bukan ‘katak politik’ yang sanggup menggadaikan prinsip dan maruah serta ‘menjualkan’ diri kepada mana-mana pembida yang tinggi.

“Oleh itu cukup-cukuplah sebarkan fitnah untuk keuntungan politik murahan.

“Nabi Muhammad SAW mengecam perbuatan fitnah ini sekeras-kerasnya sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

“Mesejnya jelas. Saya kekal setia bersama UMNO Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Negeri Pahang yang ada sekarang,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.