Menuju PRU ke-16: Akar Umbi Perlu Galas Perlaksanaan Dasar Parti – Arman Azha

SHAH ALAM, 23 Julai – Akar umbi UMNO perlu menggalas pelaksanaan dasar parti sekiranya mahukan kembali dominan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Arman Azha Abu Hanifah berkata, asas perjuangan parti seharusnya diterapkan dalam diri setiap ahli dan akar umbi agar ia sentiasa menjadi pegangan.

“Apabila saya menjadi Ketua UMNO Bahagian Subang pada penggal pertama, ketika itu UMNO kali pertama menjadi pembangkang. Kena fikir macam mana nak menyusun bahagian ini. Jadi saya mengeluarkan lima perkara yang penting.

“Pertama, jangan kita meninggalkan asas perjuangan parti kita. Kenapa UMNO ditubuhkan? Asas perjuangan parti ini kita terapkan dalam diri kita. Kalau kita faham asas perjuangan parti, tidak mungkin kita meninggalkannya.

“Kedua adalah penyatuan. Apabila tamat sahaja musim pemilihan, terdapat banyak ‘kem’. Sebenarnya habis musim pemilihan, semua kena kembali bertaut. Kena menyatu balik, rapatkan saf dan saya tunjukkan apabila saya bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bersama Dr Muhamad Akmal Saleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Subang, pada Sabtu.

Menurutnya, penyatuan di kalangan pimpinan dan akar umbi UMNO adalah penting agar pengukuhan dapat diwujudkan.

“Apabila akar umbi UMNO buat keputusan memilih secara demokrasi, parti memilih Dr Akmal sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia … jam 5.00 petang dia menang, 5.01 minit saya beritahu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin supaya angkat dan sokong Dr Akmal sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

“Pemilihan parti ini ibarat pemilihan keluarga. Bukannya selepas pemilihan kita nak ‘bergasak’ antara satu sama lain. Sebab itu penyatuan ini amat penting. Seterusnya selepas penyatuan ini perlu ada pengukuhan. Iaitu dasar, hala tuju parti … pengukuhan parti itu perlu kita bawa.

“Apabila pengukuhan parti itu wujud, maka bermulalah perlaksanaan naratif dan strategi parti. Perkara ini kita perlu terima pakai. Masalah hari ini adalah apa saja keputusan parti UMNO di peringkat pusat buat, di bawah pertikaikan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau yakin bahawa UMNO akan kembali menerajui tampuk pemerintahan negara selepas PRU ke-16 sekiranya perpaduan dapat dicapai di kalangan ahli dan akar umbi.

“Kalau kita nak kembali sebagai parti dominan selepas PRU ke-16, strategi politik UMNO Malaysia perlu kita guna pakai. Tegur-tegur dan ‘check-balance’ dalam parti itu biasa. Tetapi apabila perlaksanaan dasar parti kita sebagai akar umbi UMNO perlu galas demi kepentingan institusi parti.

“Seterusnya, perpaduan parti. Apabila kita dah buat kerja, dah faham perjuangan, penyatuan, pengukuhan, perlaksanaan … dah faham semua perkara barulah datang perpaduan parti. Apabila kita boleh rungkaikan lima perkara ini, saya yakin PRU ke-16 UMNO akan kembali sebagai parti dominan untuk memerintah negara,” katanya lagi.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, Ketua Wanita UMNO Bahagian Subang, Seripah Noli Syed Hussin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Subang, Hanis Hazwani dan seluruh kepimpinan bahagian empat peringkat. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.