UMNO Bukit Mertajam Tumpu Dua Isu Rakyat, Video Festival Georgetown Dan Kenaikan Tarif Air

BUTTERWORTH, 22 Julai – Persidangan UMNO Bahagian Bukit Mertajam memberi tumpuan kepada dua isu yang dekat di hati rakyat negeri Pulau Pinang.

Kata Ketuanya Datuk Musa Sheikh Fadzir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, ia berkenaan kemelut ketiadaan kebudayaan Melayu di dalam video ‘teaser’ Festival Georgetown 2024 dan kenaikan tarif air di negeri itu bermula Februari tahun ini.

“Kita rasa kesal sedikit tentang Festival Georgetown. Maknanya syarikat diberi untuk video promosi kebudayaan di Pulau Pinang… merasa kesal kerana tidak ada kebudayaan Melayu, adakah satu kesilapan atau disengajakan kita tidak tahu tapi bagi kita sepatutnya perkara itu tidak berlaku.

“Takkan syarikat yang diberikan itu tidak tahu langsung, kalau ada kebudayaan Cina, kebudayaan India, sudah tentu ada kebudayaan Melayu. Kita minta kerajaan negeri supaya perkara sebegini tidak berlaku lagi untuk masa depan.

“Saya tahu permohonan maaf telahpun dibuat tapi isu ini sangat sensitif dan perasaan orang Melayu kena jaga,” katanya dalam satu sidang media selepas majlis perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Mertajam di sini, Ahad.

Majlis perasmian tersebut dirasmikan oleh Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said.

Perkara kedua ujar Musa adalah mengenai kenaikan tarif air dan beliau meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghentikan seketika dan membuat kajian terlebih dahulu.

“Kita minta kerajaan kalau boleh hentikanlah dulu kenaikan (tarif air), buat kajian sebab ini akan membebankan rakyat. Apa saja subsidi kerajaan negeri akan bagi mungkin ia akan ada kategori tapi sudah tentu ia akan membebankan rakyat.

“Ada orang kata naik sikit.. sikit pun ia tetap membebankan rakyat. Dan lihat baru-baru ini kenaikan harga barang begitu mendadak kerana subsidi diesel ditarik balik. Jadi kita minta kerajaan negeri hentikan dulu, buat kajian untuk kebaikan dan kebajikan rakyat Pulau Pinang sendiri,” katanya.

Seterusnya ulas Musa, apa yang ditimbulkan ini merupakan suara akar umbi dan UMNO Pulau Pinang akan membuat surat kepada Ketua Menteri sebagai satu usul daripada UMNO Bahagian Bukit Mertajam mengenai perkara tersebut. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.