BN Sabah Mara Kehadapan, Tekad Tawan Hati Rakyat – Bung

SANDAKAN, 21 Julai – Barisan Nasional (BN) Sabah berikrar untuk terus melaksanakan gerak kerja bersepadu dalam memenuhi kehendak rakyat negeri ini, kata Pengerusinya Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, perkara itu menjadi fokus utama pihaknya dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN), sama ada melalui kerjasama dengan parti lain ataupun tidak.

“BN Sabah sama ada bergabung dengan mana-mana parti ataupun tidak, itu akan kita putuskan. Yang penting pada saya, BN perlu kehadapan dan tawan hati rakyat di luar sana.

“Kita perkuatkan jentera, satu padukan minda dalam senada hanya satu suara. Tidak boleh lagi berbalah sudah cukup pengajaran yang kita lalui. Kali ini satu padukan minda kita.

“Kalau bukan kali ini tidak ada lagi lain kali. Kalau bukan kita siapa lagi diharap? Kalau bukan BN siapa lagi? Semua parti sudah jadi kerajaan hampir semua gagal,” katanya.

Bung berkata demikian pada Himpunan BN Sabah dan Konvensyen BN Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas BN ke-50 yang diadakan di Dewan SMJK Tiong Hua, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Bendahari BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan kepimpinan lain.

Dalam pada sama, beliau turut sama memaklumkan bahawa BN Sabah akan menterjemahkan wajah baharu dengan memasukkan tawaran terbaik kepada rakyat.

Bung berkata ini termasuk memanfaatkan peluang-peluang yang ada di negeri ini sekiranya diberikan mandat pada PRN, dengan mengeluarkan Sabah daripada kelompok kemiskinan.

“Kali ini BN kita terjemahkan dengan wajah baru serta inisiatif, revolusi untuk Sabah… harus berani bak kata orang tua kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

“Selepas PRN ke-17 ini Sabah akan kita keluarkan daripada belenggu kemiskinan. Sabah negeri yang berpotensi ini untuk dibangunkan banyak peluang di kiri, kanan, hutan, laut di daratan ada tetapi oleh kerana pengurusan yang tidak tepat, komitmen tidak ada maka Sabah jadi miskin dan mundur.

“Seharusnya Sabah lebih makmur daripada negeri-negeri yang lain tetapi semua ini tidak berlaku,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.