‘Tiada Campur Tangan Pemimpin Malaya, Sabah Hanya Untuk Anak Sabah’ – Ahmad Zahid

SANDAKAN, 21 Julai – Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan keyakinan beliau bahawa hanya anak Sabah sahaja boleh mentadbir negeri ini dengan sebaiknya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, tiada campur tangan daripada kepimpinan di Semenanjung kerana pentadbiran Sabah sepenuhnya diberikan kepada rakyat di negeri ini.

“Kita amat yakin anak-anak Sabah boleh mentadbir negeri ini yang boleh menjadi pentadbir yang baik untuk seluruh negeri.

“Bila masa campur tangan parti daripada Malaya? Bila ada campur tangan daripada pemimpin-pemmpin Malaya? Sabah adalah untuk anak Sabah.

“Kita hanya berkongsi kuasa untuk menentukan Sabah juga menjadi negeri yang maju di seluruh Malaysia ini,“ katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada Himpunan BN Sabah dan Konvensyen BN Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas BN ke-50 yang diadakan di Dewan SMJK Tiong Hua, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Bendahari BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan kepimpinan lain.

Beliau dalam pada itu turut berharap Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kelak dimanfaatkan sepenuhnya rakyat untuk memilih BN mengemudi negeri ini.

Jelas Ahmad Zahid ini kerana beliau mendengar pelbagai rintihan rakyat pada ketika ini, termasuk keperluan asas seperti air dan elektrik yang selalu terjejas.

“Pada kali ini kalau ada PRN tekad dan azam sebagaimana disebut oleh Bung Moktar bahawa kita akan selesaikan masalah elektrik dan air.

“Insya-Allah dalam satu penggal pemerintahan dan pentadbiran ini boleh dilakukan tetapi di dalam perkara ini, kita tahu bahawa apabila perkongsian kuasa dapat dilakukan, anak-anak negeri Sabah dapat mentabir negeri Sabah.

“Saya yakin dua masalah utama ini boleh diselesaikan yang boleh lakukannya ialah hanya BN,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.