Ahli UMNO Jangan Percaya Bulat-bulat Dakwaan Negatif, Tolak Rosakkan Parti Sendiri
PADANG TERAP, 21 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengingatkan ahli-ahli UMNO agar tidak merosakkan parti sendiri dengan menerima dan percaya bulat-bulat dakwaan negatif pembangkang yang bertujuan memburukkan kepimpinan UMNO di semua peringkat.
Katanya, setiap ahli UMNO perlu mengawal emosi dan perasaan marah serta menilai setiap khabar disampaikan terlebih dahulu supaya tidak tersilap langkah dalam mengambil tindakan yang hanya boleh melemahkan parti.
“Setiap khabar yang diterima terutama menerusi media sosial, perlu disemak terlebih dahulu agar tidak terpedaya hingga termakan mainan pihak lawan. Ini kerana kadang-kadang sesebuah parti itu kelihatan lesu bukan disebabkan kekuatan pihak lawan tetapi kerana tindakan ahlinya sendiri.
“Apabila datang dakyah dari pembangkang, macam mudah sangat nak percaya bulat-bulat sedangkan kita tak berusaha mencari kebenarannya dengan menyemak semula berita itu.
“Pada akhirnya kita tidak sedar sedang dipermainkan oleh pihak yang mahu menjahanamkan parti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap 2024 di Kuala Nerang, semalam.
Jelasnya, setiap cerita yang timbul perlu disahkan kesahihannya.
“Cerita seperti ini mudah tersebar di media sosial, malah di kedai-kedai makan dan kita sebagai individu yang berfikiran waras perlu menilai mengesahkan kesahihannya terlebih dulu sebelum menerima bulat-bulat,” katanya. – UMNO Online