UMNO Terus Memainkan Peranan Tersendiri Dalam Kerajaan Perpaduan – Fadzli

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Ketua Penerangan UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal melihat kepimpinan UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan, baik di peringkat nasional mahupun negeri seperti Pahang, telah menunjukkan keupayaan untuk memperjuangkan agenda, polisi, dan dasar yang berkaitan dengan kepentingan orang Melayu dan agama Islam serta seluruh rakyat.

Katanya walaupun Kerajaan Perpaduan masih agak baru dengan tempoh setahun lebih, proses kerjasama antara parti-parti komponen berjalan dengan lancar walaupun mungkin mengambil sedikit masa untuk bergerak sebaiknya.

“Saya tengok dalam Kerajaan Perpaduan, Alhamdulillah tidak ada masalah UMNO mahu memperjuangkan segala agenda serta polisi dan dasar yang tentu berkait dengan kepentingan orang Melayu dan agama Islam malah seluruh rakyat saya lihat tidak ada isu, segalanya dapat diurus dengan baik.

“Mungkin kita masih peringkat awal setahun lebih dalam Kerajaan Perpaduan, sudah pasti kita mengambil sedikit masa tapi saya tengok proses itu berjalan dengan baik di peringkat nasional.

“Dalam konteks Pahang sendiri, segala isu yang menyentuh kepentingan agama bangsa dan negeri sentiasa diperhalusi dengan cermat dan teliti oleh kepimpinan negeri dan saya berada dalam proses itu. Jadi setakat ni tak ada apa-apa masalah dan isu khususnya di Pahang,” katanya kepada UMNO-Online.

Fadzli yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang seterusnya menambah sebarang permasalahan yang timbul dapat dibincang dan diselesaikan secara baik dalam usaha melaksanakan agenda kepentingan kepada seluruh rakyat.

“Andai ada perkara yang jadi pertikaian atau persoalan, kita ada platform untuk bincang secara mendalam dan saya sejujurnya tengok setahun lebih Kerajaan Perpaduan di Pahang ni, Alhamdulillah berjalan lancar.

“Andai kata ada perkara-perkara yang menyentuh kepentingan masing-masing, perkara itu dibincangkan dan setakat ini keputusan atau pandangan Menteri Besar Pahang diterima dengan baik.

“Masing-masing mengamalkan sikap saling menghormati. Alhamdulillah, cuma mungkin usaha ini perlu terus dikukuhkan pada masa depan sebaiknya,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.