BN/UMNO Sabah Akan Terus Dukung, Perkasa Sinergi Kekalkan Kerajaan Perpaduan – Bung Moktar

SANDAKAN, 19 Julai – Barisan Nasional/UMNO Sabah akan terus bekerjasama mendukung dan memperkasa sinergi bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan untuk tempoh lima tahun akan datang walaupun di Sabah sumbangan BN/UMNO telah dinafikan.

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kebersamaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir dan seterusnya merasmikan Himpunan dan Konvensyen BN Sabah pada Ahad ini (21 Julai 2024) menjadi landasan kepada BN khususnya di Sabah bangkit mendepani cabaran politik mendatang.

“UMNO dan BN khususnya di Sabah komited untuk terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan meskipun terdapat usaha menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri termasuk sentimen yang cuba dimainkan oleh pemimpin dan parti tertentu di negeri ini.

“Mereka meniupkan sentimen menolak parti Malaya yang tentunya akan memberi kesan kepada kesatuan dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Bung berkata demikian ketika ditemui di sini mengulas program Himpunan BN dan Konvensyen BN Sabah yang akan diadakan Ahad ini.

Himpunan dan Konvensyen BN Sabah ini akan disempurnakan perasmiannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri oleh Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan; Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran dan Preiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Bung yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, kehadiran UMNO dan BN dalam kerajaan kini memungkinkan parti berkenaan dapat melaksanakan dasar dan agenda yang dapat memanfaatkan rakyat.

“UMNO dan BN bersama dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, banyak perkara yang kita boleh lakukan sebab kita berada dalam kerajaan namun agak malang di Sabah konsep Kerajaan Perpaduan itu tidak diimplimentasikan dan menjadi kekangan untuk membangunkan Sabah ke tempat yang sewajarnya,” katanya.

Ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar yang mendakwa PM tidak wajar hadir Himpunan BN Sabah di Sandakan pada 21 Julai ini kerana dilihat sebagai satu usaha memecah-belahkan kesatuan di antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) di Sabah, Bung berkata kenyataan toksid dari pemimpin yang tidak berparti wajar ditolak kerana itu hanya prespsi beliau.

“Tidak timbul isu memecahkan-belahkan kesatuan antara GRS dan Pakatan Harapan kerana di peringkat Pusat UMNO/BN merupakan pendukung utama kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan, hanya di Sabah GRS menafikan sumbangan besar UMNO/BN dalam pembentukan kerajaan selepas PRN ke-16,” jelas Bung.

Tambah Bung masanya telah tiba untuk rakyat bersatu hati dan terus bekerja keras demi memastikan perpaduan dipelihara, kestabilan dijaga demi kemakmuran dilestarikan dari terus bermain politik yang penuh dengan sentimen kenegerian.

“Perkara itu tidak akan dapat membawa manafaat dan perubahan terutamanya dari aspek pembangunan kepada rakyat di negeri ini.”

Himpunan dan Konvensyen BN Sabah yang bakal diadakan di Dewan SMJK Tiong Hua dijangka dihadiri sekitar 15,000 ribu perwakilan dari seluruh Sabah dan akan diisi dengan pelbagai acara antaranya sesi forum yang bertemakan “BN Membina Negara Bangsa”

Forum ini akan dipengerusikan oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambray Abd Kadir bersama ahli panel yang merupakan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran dan Presiden PBRS Datuk Arthur Joseph Kurup. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.