Khidmat Bakti UMNO Tanpa Henti, Mohd Rafi Hargai Kebersamaan Dalam Kerajaan Perpaduan Bantu Rakyat

LABUAN, 22 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, menyatakan bahawa UMNO sentiasa berdampingan dengan rakyat dan tidak mengira dalam keadaan apa sekalipun kerana yang utama adalah khidmat kepada masyarakat.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan telah meluangkan masa untuk turun padang dan meninjau pelbagai projek yang telah diusahakan untuk rakyat di sekitar Labuan khususnya berkaitan pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), di sini.

Sebagai contoh nyata, katanya bantuan yang diberikan kepada mangsa kebakaran untuk mendapatkan rumah baharu menjadi realiti malah ia adalah bukti komitmen UMNO dalam menjaga kebajikan rakyat.

“Saya telah meninjau dan mengunjungi mereka yang menerima bantuan PPRT di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar dan Wilayah (KKDW). Semua projek yang diusahakan berlangsung lancar dan pembinaan rumah menggantikan kediaman yang terbakar awal tahun ini juga rancak dan dalam masa satu bulan akan siap untuk didiami.

“Terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan yang prihatin kerana usaha mereka yang telah menjadikan impian kami sebagai kenyataan. Kami bersyukur, Alhamdulillah kerana mangsa kebakaran kini bakal memiliki rumah baharu yang bernilai RM80,000,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau menekankan bahawa komitmen UMNO terhadap kebajikan rakyat adalah mutlak dan tidak pernah berubah.

“Sama ada menang atau kalah dalam pilihan raya, serta senang atau susah khidmat bakti UMNO adalah bersama rakyat.

“UMNO akan terus berusaha keras untuk menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi rakyat, meskipun terpaksa menghadapi tekanan dan keterbatasan.”

Mohd Rafi juga menegaskan bahawa semangat perjuangan UMNO adalah untuk rakyat, dan ini telah menjadi sebahagian daripada identiti dan budaya dalam parti tersebut.

“UMNO akan terus bersama-sama dengan rakyat, tidak kira dalam keadaan apa sekalipun, dan akan terus melaksanakan tanggungjawab untuk membela serta memperjuangkan kepentingan masyarakat.”

Sehubungan itu, beliau berharap agar sokongan dan kerjasama daripada semua pihak dapat terus diberikan untuk menjayakan usaha-usaha kebajikan yang dilaksanakan oleh UMNO demi kesejahteraan bersama.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong usaha kami dalam membantu rakyat, dan kami berharap dapat terus bekerja bersama-sama untuk meneruskan khidmat bakti kami dalam membela masyarakat,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.