UMNO Petaling Jaya Tawar Biasiswa Kepada Lepasan SPM Untuk Lanjut Pelajaran – Abdul Mutalif

PETALING JAYA, 19 Julai – UMNO Bahagian Petaling Jaya menawarkan biasiswa kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi melanjutkan pelajarannya di Kolej International Management and Sports (ICMS).

Ketuanya, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim berkata biasiswa yang diberikan adalah terhad dan belajar selama dua tahun setengah di ICMS.

“Inilah masanya pelajar lepasan SPM yang mempunyai tiga kredit saja dan berminat belajar selama dua tahun setengah akan diberikan biasiswa sebanyak RM 10,000 seorang pelajar dan terhad kepada 100 pelajar saja. Saya melihat apa yang diuar-uarkan untuk mencapai 100 pelajar adalah tidak mustahil untuk dicapai dalam masa terdekat.

“Malah ICMS yang berkolaborasi dengan Perkeso juga menawarkan pekerjaan bagi lepasannya. Sekiranya pelajar ini cemerlang dalam bidang yang diceburinya.

“Ini adalah permulaan selain dari bidang sukan terdapat juga banyak program-program yang berkaitan dengan diploma dan sebagainya boleh di kolaborasikan dengan ICMS tetapi mula dengan bidang sukan. Insya-Allah… kita doakan pelajar-pelajar berjaya di masa akan datang dan khususnya amanat dan itu adalah niat saya di Petaling Jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Biasiswa DWM dan Taklimat Bina Kerjaya 2.0 di D’ Buana Hall Taman Medan, petang semalam.

Mengulas lanjut, kata Abdul Rahim, bagi pelajar yang ingin mendaftar sila ke Pejabat UMNO Bahagian Petaling Jaya dan terhad hanya untuk 100 pelajar mendaftar.

“Sekiranya terdapat pelajar yang berminat mendaftar di ICMS dalam masa 24 jam atau 48 jam maka pendaftaran itu akan ditutup dan buat masa ini lebih 30 pelajar telah mendaftar.

“Seandainya pelajar yang berminat mendaftar walaupun bukan dari Parlimen Petaling Jaya dan mana-mana Parlimen maka kami akan tetap membantu,” ujarnya.

Seterusnya kata beliau lagi, program pendidikan dan kerjaya bersama ICMS ini selaras dengan Kerajaan Madani.

“Apa yang diamanahkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan apa yang diminta kerajaan tidak mustahil UMNO Bahagian Petaling Jaya berkolaborasi ICMS dan kami telah mulakan di Parlimen ini,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.