Pelan Perak Sejahtera 2030 Mula Membuahkan Hasil Kejayaan – Ahmad Saidi

BUKIT GANTANG, 19 Julai – Bekas Exco Kerajaan Negeri Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata Pelan Perak Sejahtera 2030 mula membuahkan hasil kejayaan walaupun baru dua tahun ia dilaksanakan.

Menurutnya, pelan hasil ilham Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad tersebut menyasarkan tiga sasaran iaitu Sejahtera Politik, Sejahtera Sosial dan Sejahtera Ekonomi untuk rakyat negeri Perak.

Menyentuh mengenai Sejahtera Ekonomi, Ahmad Saidi mengambil contoh penubuhan Lumut Maritim International City (LUMIC) yang banyak memberi manfaat terutama peluang pekerjaan yang besar kepada anak negeri.

“Dalam aspek kesejahteraan ekonomi kita dapat melihat pelaburan-pelaburan daripada luar sudah mula masuk ke dalam negeri Perak antaranya Lumut Maritim International City atau LUMIC.

“LUMIC ini sudah mula dibangunkan hasil daripada perbincangan di antara Kerajaan Negeri Perak dan pelabur yang berminat dan difahamkan untuk LUMIC, pelan perancangannya untuk 25 tahun akan datang jangka masa panjang dan juga menawarkan 51 ribu peluang pekerjaan kepada seluruh rakyat negeri Perak dan juga pelaburan yang melibatkan jumlah RM72 bilion secara keseluruhan.

“Satu program yang sangat baik sebab ada peluang pekerjaan untuk belia dan anak-anak muda negeri Perak, kawasan strategik iaitu kawasan Lumut dan Pulau Pangkor dan dapat melihat pelaburan asing telah mula masuk,” katanya kepada UMNO Online.

Pelan Perak Sejahtera 2030 menggariskan sembilan agenda iaitu Sekuriti Makanan, Ekonomi Digital, Pembuatan Keputusan Berpacukan Data dan Koridor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia.

Begitu juga Perlombongan Bertanggungjawab, Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri, Pembangunan Sosial, Kelestarian Alam dan Biodiversiti dan Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sembilan agenda tersebut fokus kepada kesejahteraan, keselamatan dan pembangunan dengan misi ‘memacu pembangunan sosiekonomi yang mapan, inklusif dan dinamik’.

 

Seterusnya ulas Ahmad Saidi, begitu juga dengan pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim iaitu Proton City yang mampu memberi limpahan ekonomi dan merancakkan pembangunan pesat kawasan setempat dan berhampiran.

Manakala bagi aspek Sejahtera Sosial, Ahmad Saidi berkata terdapat pertambahan nilai Kad Perak Sejahtera.

“Kita dapat melihat bagaimana penambahbaikan daripada aspek Kad Perak Sejahtera. Sebelum ini pada permulaan pemberian RM80 kepada semua penerima, tahun lepas RM90 dan Alhamdulillah tahun ini telah ditingkatkan kepada RM100.

“Ini jelas menunjukkan bagaimana aspek kesejahteraan sosial ini kerajaan negeri sentiasa cakna, mengutamakan rakyat dengan memastikan mereka menerima segala bentuk kebaikan dan juga dalam keadaan sentiasa dijaga hak dan kehendak rakyat negeri Perak.

“Ini merupakan contoh perkara-perkara yang telah memberikan impak secara langsung dalam tempoh dua tahun pelaksanaan Perak Sejahtera 2030,” jelasnya lagi.

Tambah Ahmad Saidi yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang lagi, pelan tersebut mendapat kerjasama yang cukup baik daripada semua jentera kerajaan negeri dalam usaha untuk memastikan seluruh rakyat di negeri Perak menerima manfaat. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.