Aplikasi Teknologi Cabaran Gerak Kerja Naratif Penerangan Hari Ini – Azalina

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan bahawa aplikasi teknologi yang amat pantas berubah adalah antara cabaran dalam gerak kerja naratif penerangan dalam politik hari ini.

Katanya yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, hal tersebut bukan hanya dialami oleh masyarakat dalam negara malah ia adalah isu global yang menjadi cabaran kepada mana-mana parti politik.

 

“Cabaran yang dihadapi hari ini adalah berkaitan teknologi yang mengambil alih kerja-kerja manusia dengan mudah, malah boleh mengelirukan dan memanipulasi maklumat,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas beliau, teknologi telah diaplikasi dalam komunikasi dan menjadi antara elemen yang amat penting pada masa ini khususnya mengolah maklumat, mesej dan segala isu yang timbul dapat disampaikan kepada khalayak dengan mudah.

“UMNO sendiri perlu keluar dari kebiasaan dan menggunakan kemudahan teknologi ini, memberikan penerangan dan menolak dakwaan negatif terhadap parti.”

Kata Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, sebagai contoh, teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu membawa lebih banyak impak positif dan memberi nilai tambah jika dimanfaatkan dengan sebaiknya.

“Media sosial sekarang ini telah pun berkembang dengan pesat dan pada masa akan datang nanti khususnya bagi hadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 tentunya ada pelbagai lagi aplikasi teknologi dan bukan hanya Facebook, WhatsApp mahu pun TikTok.

“Bagaimana aplikasi AI boleh mempengaruhi pengundi pada masa akan datang dengan berbagai-bagai teknik dalam teknologi digunakan yang tentunya bukan hanya dapat mempengaruhi orang ramai tapi juga akan mengelirukan pengundi.

“Sebab itulah kita perlu siap siaga lebih awal serta mempelajari teknologi semasa dan teknik AI agar tidak mudah dikelirukan,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.