UMNO Sabah Akan Meterai Perjanjian Bersama Parti Gabungan Lain Sebelum PRN – Bung Moktar
KUALA PENYU, 17 Julai – Sebarang bentuk kerjasama untuk bergabung dengan parti-parti lain akan dimeterai oleh UMNO sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pengalaman masa lampau bergabung bersama parti lain selepas PRN cukup memberikan pengajaran untuk lebih berhati-hati memilih parti gabungan yang akan berkerjasama dengan UMNO.
“Kita sudah lalui perjanjian dibuat selepas PRN untuk membentuk kerajaan, bagaimanapun setelah kerajaan dibentuk, UMNO dibaratkan seperti parti ‘melukut di tepi gantang’ walaupun UMNO memperoleh lebih banyak kerusi berbanding parti lain.
“Justeru pengalaman ini perlu dijadikan pengajaran dan sebarang bentuk kerjasama bersama gabungan parti lain untuk menghadapi PRN perlu dibuat sebelum pilihan raya berlangsung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Beaufort di Dewan Masyarakat Datuk Shahbandar Makang dekat sini, baru-baru ini.
Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan; Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching; Bendahari UMNO Sabah, Datuk Salleh Said, wakil UMNO Sabah, Abdul Rahman Noh dan Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat.
Bung yang juga MKT UMNO mengakui pada PRN akan datang tidak akan ada parti yang dominan boleh membentuk kerajaan tanpa sebarang gabungan kerjasama bersama parti-parti lain.
Sehubungan itu, beliau berkata UMNO Sabah akan lebih berhati-hari dan hanya menjalinkan kerjasama dengan parti yang menghormati perjanjian.
“Kita akan bekerjasama dengan parti politik yang menghormati perjanjian satu sama lain dan memberi manfaat kepada UMNO dan Sabah.
“Kita juga akan melihat rakan-rakan yang ada kesetiaan, keikhlasan dalam melaksana tanggungjawab sebagai gandingan untuk memperjuang untung nasib rakyat Sabah. Kita tidak mahu lagi krisis dalaman yang akan membantutkan usaha membangunkan Sabah,” katanya.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, siapa pun gandingan UMNO Sabah nanti akan menjadi faktor kekuatan dan kemenangan kepada calon BN pada pilihan raya akan datang. – UMNO Online
Oleh: Jaafar Wahid