TVET: ‘Perahu Dan Pendayung Sudah Di Air’, Generasi Muda Harus Rebut Peluang – Manndzri

TENGGARA, 17 Julai – Ahli Parlimen Tenggara Manndzri Nasib berpandangan usaha kerajaan memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) boleh diumpamakan seperti ‘perahu dan pendayung sudah berada di air’ dan ia harus direbut peluang oleh generasi muda.

Kata Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) itu, TVET yang merangkumi pelbagai kursus kemahiran serta insentif adalah semata-mata untuk melahirkan anak bangsa sebagai tenaga kerja negara yang berkemahiran tinggi.

“Kita boleh katakan untuk TVET ini, ‘perahu sudah di air, pendayung juga ada di sana’. Jadi kepada generasi kini manfaatkanlah peluang yang sangat baik ini, yang sangat penting.

“… dan generasi muda mesti merebut peluang yang telah disediakan oleh kerajaan, mengorbankan sedikit masa untuk belajar dan dapatkan kemahiran supaya boleh memasuki industri dengan status pekerja berkemahiran tinggi dan seterusnya berpendapatan tinggi,” katanya sambil memberi contoh bidang kenderaan elektrik (EV) yang mempunyai potensi besar bagi Johor sebagai Lembah EV terutama untuk menampung permintaan negara jiran.

Manndzri yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tenggara berkata demikian kepada UMNO Online selepas Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Tenggara yang disempurnakan oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan pada Sabtu lalu, di sini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Tenggara Datuk Seri Dr Adham Baba: Naib Ketua yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti Hahasrin Hashim dan wakil Penyelaras Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor daripada UMNO Bahagian Pengerang.

Seterusnya tambah Manndzri lagi, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dipertanggungjawabkan sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara amat serius dalam memastikan masa depan anak-anak muda terjamin dengan menggalakkan mereka melanjutkan pengajian di bidang TVET.

Sebagai rekod, pada Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu, antara usul yang diutarakan dan dilaksanakan oleh kerajaan adalah mengenai Kongres Ekonomi Bumiputera, TVET dan juga Suruhanjaya Gig untuk menjaga kebajikan dan kepentingan pengamal e-hailing dan p-hailing.

Mengulas lanjut, Manndzri berkata TVET dan ekonomi gig amat berkait rapat dengan generasi muda kini.

“Saya melihat kedua-dua perkara ini berkait rapat dengan generasi muda terutama orang-orang Melayu, kalau kita lihat yang ramai terlibat dalam ekonomi gig rakan-rakan yang sebaya saya, bukan sahaja separuh masa tetapi sepenuh masa menyara diri dan keluarga.

“Jadi amat tepat UMNO menjadi pejuang memperjuangkan sesuatu yang baik kepada ‘gig generation’ ini,” katanya.

Justeru, Manndziri berharap Perhimpunan Agung UMNO tahun ini agar lebih banyak lagi tawaran baharu yang akan diutarakan demi kepentingan rakyat.

Manakala berhubung dengan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) yang berada di bawah kelolaan Risda, Manndziri memaklumkan bahawa pihaknya sedang berusaha memperluaskan dan menaik taraf kursus program yang ditawarkan.

“Kita akan mengambil peluang penubuhan Malaysia-China Institute di bawah MARA (Majlis Amanah Rakyat), merebut peluang pembelajaran dan pendidikan dalam pelbagai bidang seperti AI (kecerdasan buatan), solar, ‘drone’ dan sebagainya di China untuk kursus pendek.

“Saya difahamkan 114 institut TVET di China telah bersetuju memberikan kuota berjumlah 5,125 pelajar dan ada dua ratus lebih sedang menunggu untuk bekerjasama dengan Malaysia-China untuk memberi ruang dan peluang pendidikan lanjutan yang percuma, cuma kita perlukan menyediakan tiket tambang sahaja.

“Modul pembelajaran, pendidikan, penginapan disediakan oleh pihak China Industry melalui inisiatif ‘one belt one road’. Kolej Risda akan memperjelaskan lagi fungsi tentang TVET,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.