Generasi Muda UMNO Perlu Ada Semangat Perjuangan Tinggi, Demi Kelangsungan Agenda Rakyat
KUALA LUMPUR, 17 Julai – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan berpandangan generasi muda dalam UMNO perlu mempunyai semangat perjuangan yang utuh bagi meneruskan agenda membantu rakyat seperti mana tujuan asal penubuhan parti keramat ini.
Menurut beliau ia penting bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti ini kekal dibawa sehingga ke generasi yang akan datang.
“Ahli-ahli UMNO terutama sekali orang muda saya rasa kualiti serta perjuangan perlu diterapkan itu yang paling penting sekali, perjuangan itu perlu dititikkan dalam setiap ahli.
“Orang muda adalah pelapis, mereka tak boleh masuk politik ini dengan kosong perlu ada sedikit pengisian dan sedikit pemahaman supaya kita dapat menghayati roh perjuangan UMNO.
“Kerana UMNO bukan lubuk mencari kemewahan atau mencipta nama, ketika UMNO bukan lagi menjadi pilihan utama rakyat Malaysia, jadinya untuk menjadi ahli UMNO pada ketika ini perlu ada keberanian sebagai pemimpin pelapis UMNO,” katanya.
Shah Zanuriman berkata demikian kepada UMNO Online ketika ditemui pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Selayang yang diadakan baru-baru ini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang turut sama meluahkan kesyukuran dengan solidariti ditunjukkan oleh UMNO bahagian dalam melaksanakan gerak kerja sebaiknya dalam menyantuni rakyat meskipun melalui pelbagai cabaran.
“Saya lihat pada tempoh selepas pemilihan ini UMNO masih lagi rata-rata mencari rentak dan juga mengukuhkan hubungan terutama sekali di setiap bahagian kerana kita ambil maklum selepas pemilihan tempoh hari tahun lalu perpecahan berlaku dan ini adalah tahun untuk UMNO kembali meraih kepercayaan ahli.
“Menyatukan ahli parti itu untuk mengukuhkan UMNO terutama sekali di UMNO bahagian Selayang, ketua bahagian melakukan perubahan dan saya kira perubahan itu adalah ‘good start’ ataupun permulaan yang baik untuk UMNO bahagian Selayang ini,” ujar beliau. – UMNO Online